BOURNEMOUTH, 28 APRIL – Rasmus Hojlund menyelamatkan Manchester United daripada kekalahan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas menjaringkan gol penyamaan pada saat akhir dalam keputusan seri 1-1 menentang Bournemouth yang beraksi dengan 10 pemain semalam.
Pasukan kendalian Ruben Amorim itu dikejutkan oleh gol pembukaan Antoine Semenyo pada separuh masa pertama di Stadium Vitality.
Detik perubahan berlaku 20 minit sebelum perlawanan tamat apabila penyerang Bournemouth, Evanilson, dilayangkan kad merah secara kontroversi. Pada mulanya dia hanya diberikan kad kuning atas terjahan terhadap Noussair Mazraoui, namun hukuman tersebut dinaik taraf kepada kad merah selepas campur tangan VAR, walaupun Evanilson dilihat tergelincir sebelum membuat sentuhan dengan pemain pertahanan United itu.
Ketika hampir mengalami kekalahan keempat dalam lima perlawanan liga terakhir, United akhirnya berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi Hojlund pada masa kecederaan.
Dengan seteru ketat mereka, Liverpool, memperoleh kejuaraan liga ke-20 dengan menewaskan Tottenham 5-1 semalam, United pulang dengan rasa lega kerana terhindar daripada satu lagi episod memalukan dalam kempen yang suram ini.
Namun, walaupun jaringan penyamaan lewat oleh Hojlund memberi sedikit kelegaan, persembahan hambar United yang kini menghuni tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris masih jauh daripada meyakinkan. – AFP
