Gol Icardi bantu PSG untuk terus mara

PARIS, 7 NOV – Jaringan tunggal Mauro Icardi dan ketangkasan Keylor Navas menyelamatkan penalti membantu Paris Saint-Germain layak selepas menang tipis ke atas Club Brugge 1-0 dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, pagi tadi.

Penyudah jarak dekat Icardi pada babak pertama di Parc des Princes adalah gol kelapan buat PSG dalam tujuh perlawanan sekali gus menghadiahkan kemenangan keempat sederet Kumpulan A.

Namun, pasukan pelawat beraksi cemerlang dan hampir mengejutkan tuan rumah jika penjaga golnya, Navas gagal menyelamatkan penalti Mbaye Diagne pada minit ke-76.

Meskipun gagal mempamerkan aksi memukaunya seperti kejayaan dua minggu lalu dengan kemenangan 5-0, PSG sudah melangkah ke peringkat 16 terbaik buat kali kelapan dan jika seri ketika berkunjung ke Real Madrid selepas ini sudah menjamin ia muncul juara kumpulan A. Real juga kian hampir melayakan diri selepas membelasah wakil Turki, Galatasaray 6-0.

“Sebelum perlawanan ini, ia jelas buat saya betapa kami akan berdepan saat sukar di Liga Juara-Juara ini. Mereka hanya kalah dua kali, kedua-duanya di tangan kami,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel, sambil menambah betapa anak buahnya tidak boleh terlalu dikerah mencipta kemenangan setiap minggu.

“Inilah bola sepak. Jika kamu tidak boleh terima kemenangan adakalanya berakhir 1-0 maka lebih baik kami menamatkanya begitu.”

Club Brugge tampak sukar melonjak dari tangga ketiga selepas aksi memukau mereka ketika mengikat Real Madrid 2-2 di tempat lawan tempoh hari. – AFP

Icardi ketika menjaringkan gol pada perlawanan menentang PSG kelmarin. – AFP