Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gol lewat bantu Al-Ahli benam Nasaf

    JEDDAH, ARAB SAUDI, 16 SEPT – Juara bertahan, Al-Ahli bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum menang 4-2 ke atas kelab Uzbekistan, Nasaf pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara Asia Elit di Jeddah, kelmarin.

    Gol kemenangan skuad bimbingan Matthias Jaissle hadir pada masa kecederaan menerusi Riyad Mahrez dan Mohammed Sulaiman, sekali gus memastikan tiga mata sulung buat kelab Saudi itu.

    Husain Norchaev meledak dua gol pada babak pertama untuk mengejutkan tuan rumah. Namun pemain baharu Al-Ahli dari Stuttgart, Enzo Millot muncul wira kebangkitan dengan menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh tiga minit pada separuh masa kedua.

    Gol pertama Millot hadir pada minit ke-65 selepas dia menghukum kesilapan penjaga gol Abduvohid Nematov yang keluar dari kawasannya, sebelum menyamakan kedudukan susulan kelekaan benteng lawan.

    Mahrez menjaringkan gol pada minit keempat masa tambahan, sebelum Sulaiman menambah jaringan dari jarak dekat 11 minit kemudian ketika Nasaf terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Alibek Davronov dibuang padang.

    “Setiap orang perlu memberikan 100 peratus pada separuh masa kedua. Kami tahu perlu lebih agresif dan menyerang ke kotak penalti untuk menjaringkan gol dan kami berjaya melakukannya,” kata Millot.

    Kemenangan itu membolehkan Al-Ahli memulakan kempen dengan tiga mata dalam saingan zon barat, yang menyaksikan 12 pasukan beraksi lapan perlawanan dan lapan terbaik mara ke pusingan kalah mati Mac depan. – Reuters

    Pemain Al-Ahli meraikan kemenangan semasa perlawanan Liga Juara-juara Asia Elit antara Al-Ahli dan Nasaf di Jeddah. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda