GLASGOW, 1 Nov – Javi Martinez menjaringkan gol kemenangan di saat-saat akhir apabila Bayern Munich menempah tempat mereka dalam peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara buat kali ke-10 berturut-turut awal pagi tadi dengan kemenangan 2-1 ke atas Celtic di Glasgow.
Juara Jerman itu memanfaatkan kelonggaran pertahanan Celtic untuk mendapatkan gol pembukaan pada minit ke-22 menerusi Kingsley Coman dalam aksi Kumpulan B.
Celtic memberikan respons dengan positif dan jaringan penyamaan pada minit ke-74 menerusi Callum McGregor dilihat memberikan mereka satu mata.
Namun, ia hanya mengambil masa dua minit bagi Bayern untuk mendapatkan semula pendahuluan mereka dengan Martinez dengan beraninya membuat tandukan untuk gol kemenangan bagi mengekalkan mereka tiga mata di belakang pendahulu Paris Saint-Germain, yang membelasah Anderlecht 5-0.
“Kami perlu mengambil kira dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan semua perubahan yang berlaku,” kata pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes, yang menggantikan Carlo Ancelotti awal bulan ini.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/bayern-18p3-rubie_021117.jpg)
“Perubahan kejurulatihan dan kami tahu ia sukar serta mencabar, tetapi kami perlu memberikan pujian kepada lawan kami.”
Juara Scotland itu masih menjadi pilihan bagi menamatkan kumpulan di tangga ketiga dan tempat dalam Liga Europa di depan Anderlecht, yang akan dihadapi mereka pada perlawanan keenam, susulan kemenangan mereka di awal kempen ini.
“Kekecewaan di bilik persalinan menunjukkan betapa bagusnya kami bermain,” kata pengurus Celtic, Brendan Rodgers.
“Saya sangat bangga dengan pasukan dan tahap ketenangan serta kualiti yang kami hasilkan, kami memberikan mereka banyak masalah.”
Disorak dengan kuat oleh penyokong tuan rumah, Celtic bermula dengan cemerlang dan tidak membazirkan kawalan bola berbanding dalam kunjungan mereka di Munich dua minggu lalu. – AFP