MUNICH, 19 FEB – Bayern Munich mengesahkan tempat mereka ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan jaringan lewat minit ke-94 oleh Alphonso Davies kelmarin untuk memastikan keputusan seri 1-1 dan kemenangan agregat 3-2.
Bayern akan bertemu sama ada seteru Jerman mereka, Bayer Leverkusen atau gergasi Sepanyol, Atletico Madrid dalam pusingan 16 terakhir.
Celtic mendahului 1-0 sejak minit ke-63 dan pasukan Scotland hampir mengheret lawan ke masa tambahan dan juga kemungkinan melakar kemenangan pertama mereka di Jerman.
Tetapi dengan Harry Kane mengalami kecederaan dan masa yang semakin suntuk, Davies pula muncul sebagai penyelamat Bayern apabila menjaringkan gol selepas penjaga gol Celtic, Kasper Schmeichel menghalang tandukan Leon Goretzka.
“Kami mempunyai bola di depan gol , jadi saya hanya menerpa masuk dan tidak terlalu banyak berfikir, hanya meletakkan kaki dan ia masuk,” kata Davies yang gembira.
“Saya sangat gembira dapat satu lagi gol dalam Liga Juara-Juara” kata Davies yang terlepas tiga daripada empat perlawanan Bayern sebelum ini.
Bayern mendominasi penguasaan bola tetapi kurang kualiti dalam serangan manakala Celtic lebih berbahaya dengan sekurang-kurangnya tiga peluang untuk menjaringkan gol sebelum rehat.
Celtic berada di hadapan apabila Maeda menyambar hantaran lemah dari Josip Stanisic dan menghantar ke arah Kuehn. Min-Jae Kim mencapai bola terlebih dahulu namun gagal mengeluarkan bola lalu Kuehn dapat menyambung hantaran dan lepaskan rembatan ke sudut bawah.
Ia adalah gol yang mengejutkan Allianz Arena dan mengancam rekod Bayern dengan 20 perlawanan di tempat sendiri Eropah tanpa kalah.
Sebelum Celtic yang hanya beberapa saat lagi untuk mengheret ke masa tambahan setelah mendahului Bayern, Olise menghantar hantaran silang tepat yang disambut oleh tandukan Goretzka.
Schmeichel berjaya menepis namun Davies menerpa mendapatkan bola lalu menjaringkan gol membawa Bayern ke pusingan 16 terakhir. – AFP
