Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gol Mbappe lonjak PSG

    PARIS, 27 OGOS – Kylian Mbappe bertindak cemerlang pada perlawanan pertamanya di gelanggang sendiri musim ini, menjaringkan dua gol ketika juara Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan naib juara musim lalu, Lens 3-1 semalam.

    Kemenangan itu melonjakkan mereka ke tangga keempat, dua mata di belakang pendahulu AS Monaco, yang seri kelmarin dan Marseille yang turut menang semalam.

    Mbappe, yang membuat penampilan sulung di laman sendiri sejak disenaraikan semula dalam pasukan susulan pertikaian mengenai kontrak, mengancam sejak wisel pertama.

    Pada babak pertama, satu percubaannya diselamatkan penjaga gol Brice Samba dan satu lagi dikeluarkan dari atas garisan gol oleh Kevin Danso sebelum Marco Asensio menjaringkan gol pertamanya buat kelab itu pada minit ke-44.

    Pemain tengah PSG dari Portugal, Vitinha memulakan serangan sebelum memberikan laluan kepada Warren Zaire-Emery yang melakukan hantaran kepada Asensio di luar kotak penalti. Pemain Sepanyol itu melencongkan sepakan kaki kiri ke penjuru bawah gol lawan.

    Mbappe menambah gol kedua selepas 51 minit, menyambut hantaran Lucas Hernandez dengan satu rembatan dari penjuru kotak penalti.

    Dia kemudian menambah gol kedua peribadinya pada minit ke-90 dengan jaringan dekat kotak penalti yang terlencong dua kali sebelum menerjah jaring.

    Ketika pertahanan PSG kelihatan alpa, Morgan Guilavogui menjaringkan gol tunggal pelawat dengan percubaan terakhir perlawanan, dengan rembatannya terkena pertahanan PSG, Milan Skriniar. – AFP

    Kylian Mbappe meraikan gol kedua pasukan PSG semasa perlawanan menentang Lens di stadium Parc des Princes di Paris pada 26 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda