Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gol Messi terus ceriakan Argentina

    BUENOS AIRES, 24 MAC – Lionel Messi menyempurnakan malam penuh keceriaan dengan gol ke-800 dalam kariernya ketika juara dunia Argentina meraikan kepulangan mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas Panama dalam perlawanan persahabatan di Buenos Aires, kelmarin.

    Pemenang Ballon d’Or berusia 35 tahun itu menyempurnakan tendangan percuma yang menakjubkan pada penghujung perlawanan selepas pemain sensasi MLS berusia 21 tahun, Thiago Almada memberi gambaran masa depan dengan gol pertamanya untuk pasukan kebangsaan selepas tiga penampilan.

    Ia merupakan malam yang penuh emosi apabila bunga api menyerikan sepak mula di stadium Monumental yang mengagumkan di mana 83,000 peminat bertuah berjaya mendapatkan tiket daripada lebih 1.5 juta orang yang memohon, mencetuskan suasana menakjubkan.

    Messi, jurulatih Lionel Scaloni dan ramai pemain masuk ke padang bersama anak-anak mereka dan beberapa orang kelihatan hampir menitiskan air mata apabila penyokong serentak menyanyikan lagu Muchachos, lagu kemenangan kempen Piala Dunia Argentina di Qatar.

    Selepas perlawanan, pesta diteruskan, dengan setiap ahli skuad pemenang Piala Dunia diberikan replika trofi untuk dijulang, dikelilingi oleh keluarga mereka.

    “Saya sentiasa mengimpikan saat ini, dapat meraikan bersama awda (peminat), dapat pulang ke negara saya untuk menjulang Copa America, Piala Dunia. Ia merupakan perkara terbaik,” kata Messi, yang diberikan beberapa anugerah selepas perlawanan.

    “Saya sentiasa berterima kasih kepada kumpulan pemain ini. Bola sepak adalah milik mereka, ia milik semua yang memakai jersi ini,” kata Scaloni, yang akhirnya menitiskan air mata. – AFP

    Lionel Messi memegang trofi replika Piala Dunia FIFA selepas perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa di stadium Monumental di Buenos Aires, Argentina. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda