Monday, February 10, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gol penyamaan Keane selamatkan Everton

    LIVERPOOL, 4 APRIL – Jaringan penyamaan minit ke-90 oleh Michael Keane menjejaskan misi Tottenham menamatkan saingan di kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila tugasan pertama Cristian Stellini sebagai pengendali Spurs berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Everton, semalam.

    Penalti Harry Kane membuka laluan untuk Tottenham melonjak ke tangga ketiga selepas Abdoulaye Doucoure dibuang padang kerana mengasari muka penyerang Spurs itu.

    Dua minit sebelum perlawanan tamat, Spurs pula kehilangan pemainnya apabila Lucas Moura dilayangkan kad merah, diikuti jaringan penyamaan Keane yang menyelamatkan Everton dari zon penyingkiran.

    Satu mata sudah mencukupi buat skuad kendalian Sean Dyche untuk melonjak ke tangga ke-15.

    Tottenham kini berada di tangga keempat, menyamai kutipan mata Newcastle di tangga ketiga dan Manchester United di tangga kelima dengan 50 mata, tetapi bermain lebih dua perlawanan berbanding kedua-dua pesaingnya itu.

    “Selepas kad merah, mereka lebih agresif berbanding kami. Kami perlu menjadi pasukan yang bermain dengan cara sama di tempat sendiri dan lawan,” kata Stellini selepas Spurs gagal menang di tempat lawan untuk enam perlawanan berturut-turut.

    Stellini mengambil alih pasukan buat pertama kali selepas Antonio Conte dipecat.

    Nasib Conte diputuskan selepas Tottenham dibolosi dua kali pada lewat permainan untuk seri 3-3 bertemu pasukan tercorot, Southampton, selepas mereka pada awalnya mendahului 3-1.

    Bagaimanapun, harapan untuk permulaan baik di bawah Stellini tidak kesampaian apabila sekali lagi seri semasa bertemu lawan yang bergelut dengan zon penyingkiran. – AFP

    Michael Keane (kiri) meraikan kemenangan bersama Seamus Coleman selepas perlawanan di antara Everton dan Tottenham Hotspur di stadium Goodison Park di Liverpool, England pada 3 April 2023. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda