MIAMI, 1 Ogos – Jose Mourinho akhirnya mempunyai alasan untuk kembali tersenyum mengenai jelajah pramusim Manchester United di sini selepas skuad kendaliannya melakar kemenangan 2-1 ke atas Real Madrid pada aksi terakhir, sebentar tadi.
Gol kemenangan ke atas juara Eropah dari Sepanyol yang pernah dibimbingnya dijaringkan oleh dua tonggak senior, Alexis Sanchez dan Ander Herrera pada babak pertama.
Mourinho tampil dengan watak menyedihkan sepanjang kunjungan kelab itu ke Amerika Syarikat selama dua minggu dengan mengkritik aktiviti United ketika jendela perpindahan selain ketiadaan ramai tonggaknya.

Disebabkan kempen La Liga Sepanyol bermula seminggu lebih awal berbanding Liga Perdana Inggeris, pengurus baharu Real, Julen Lopetegui menyenaraikan tonggaknya Gareth Bale dalam kesebelasan utama tetapi bintang Jerman, Toni Kroos direhatkan.
Real hampir menewaskan penjaga gol United, David de Gea yang membuat penampilan sulung dalam kesebelasan utama jelajah AS pada minit kelapan tetapi rembatan Karim Benzema tersasar.
Di hadapan 64,141 penonton di Stadium Hard Rock, Miami, United membuka tirai jaringan menerusi Sanchez pada minit ke-18 berpunca daripada gerakan Herrera dan Matteo Darmian. – AFP