LONDON, 22 Sept, 2025 (AFP) – Gabriel Martinelli menyelamatkan Arsenal untuk menyamakan kedudukan seri 1-1 menentang Manchester City kelmarin.
Taktik perubahan Mikel Arteta yang terbukti menjadi apabila Martinelli dimasukkan dari bangku simpanan untuk menyelamatkan pasukannya daripada kalah buat kali kedua selepas tewas kepada juara Liverpool Ogos lalu.
Sementara taktik pertahanan Pep Guardiola pula ‘makan tuan’ apabila City bergantung pada gol pendahuluan oleh Erling Haaland pada awal separuh masa pertama.
Dia melakukan beberapa siri pertukaran yang luar biasa kerana mahu berhati-hati dengan cara bermain tanpa penyerang di atas padang pada peringkat akhir permainan.
Ia adalah tindakan yang jarang dikaitkan dengan Guardiola yang biasanya mahukan permainan corak menyerang, tetapi dia bersedia mengorbankan prinsipnya untuk pendekatan yang lebih pragmatik.
Arsenal naik ke tangga kedua, lima mata di belakang Liverpool, manakala City merosot di tangga kesembilan dengan hanya dua kemenangan daripada lima perlawanan liga pertama mereka.
Gol pertama City adalah hasil daripada pecutan Haaland meluru ke kotak penalti setelah menghantar bola ke Tijjani Reijnders dari tengah padang. Dia menyempurnakan hantaran tepat yang dikembalikan kepadanya dengan merembat rendah dari jarak lapan ela.
Arsenal hampir dibolosi lagi apabila Haaland merembat deras hasil hantaran Reijnders naum ditepis David Raya.
Noni Madueke sempat mencabar Donnarumma dengan percubaan dari jarak 12 ela sejurus sebelum separuh masa.
Bukayo Saka kembali dimasukkan setelah kecederaan hamstring bersama Eberechi Eze pada separuh masa dan pemain sayap England itu segera mengubah serangan Arsenal.
City menghabiskan sebahagian besar separuh masa kedua untuk mengekalkan kedudukan dan Guardiola beralih kepada lima di belakang ketika dia masukkan Nathan Ake menggantikan Phil Foden untuk memantapkan pertahanan.
Haaland turut dikeluarkan pada 15 minit terakhir ketika Guardiola meletakkan ‘bas depan gawang’, tetapi taktiknya menerima padah pada masa kecederaan.
Hantaran tinggi Eze menyebabkan Martinelli memecut jauh dari Ake ketika dia cuba memerangkap ofsaid dan dai melakukan penyudah yang baik menewaskan Donnarumma sekali gus mencetuskan sambutan liar di seluruh Emirates. – AFP


