Tuesday, April 22, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gol tunggal Cuadrado tewaskan Inter

    ROME, 6 Feb – Juan Cuadrado bangkit daripada prestasi suramnya dalam Serie A musim ini dengan jaringan sensasi yang mengangkat Juventus mendahului enam mata mengatasi Napoli, hasil kemenangan 1-0 mengatasi Inter Milan awal pagi tadi.

    Pesaing gelaran, Roma yang kini di tangga ketiga dengan ketinggalan tujuh mata boleh kembali ke tangga kedua jika mereka mampu menewaskan Fiorentina pada awal pagi Rabu.

    Namun skuad Giallorossi, yang masih merasai kesan kekalahan 3-2 kepada Sampdoria minggu lalu, kini berdepan dengan tekanan tinggi untuk tidak mencicirkan mata selepas skuad juara 32 kali itu mempamerkan persembahan lemah ketika beraksi di Turin.

    Dalam aksi pagi tadi, Inter berkunjung ke barat dengan harapan dapat meneruskan kebangkitan hebat yang menyaksikan skuad kendalian Stefano Pioli meraih 25 mata daripada 10 perlawanan terakhir.

    Namun penyudah teruk dan pertahanan kukuh Juve telah mengekang Inter pada separuh masa pertama, sebelum Cuadrado membuatkan jurulatih, Massimiliano Allegri tersenyum apabila sepakannya terbias selepas terkena pemain lawan telah menerjah ke dalam gawang menewaskan Samir Handanovic pada minit ke-45.

    Para pemain Juventus meraikan jaringan Juan Cuadrado, yang akhirnya menjadi jaringan kemenangan Juventus ke atas Inter Milan dalam aksi hebat Serie A di Turin. – AP
    Para pemain Juventus meraikan jaringan Juan Cuadrado, yang akhirnya menjadi jaringan kemenangan Juventus ke atas Inter Milan dalam aksi hebat Serie A di Turin. – AP

    Juve mempertahankan kedudukan di separuh masa kedua yang dicemari dengan aksi kasar dan menyaksikan Ivan Perisic dilayangkan kad merah di hujung perlawanan.

    Juve berjaya memastikan kemenangan ke-18 itu sudah memadai untuk meletakkan mereka di laluan tepat memburu rekod gelaran keenam berturut-turut.

    “Ia adalah perlawanan yang hebat. Melihat kepada beberapa orang pemain ia seolah-olah seperti perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara, dan kami boleh mempelajari sesuatu daripadanya,” kata Allegri.

    “Kami bernasib baik Inter mengharungi awal musim yang perlahan, jika tidak mereka pasti lebih dekat dengan kami ketika ini.”

    Inter, memburu slot Liga Juara-Juara, kekal di tangga kelima dengan ketinggalan 12 mata dan lima mata di belakang Roma.

    Jurulatih Stefano Piola berang selepas ulang tayang televisyen dengan berkata Mauro Icardi seharusnya mendapat dua sepakan penalti berikutan faul yang dibuat oleh Mario Mandzukic dan Giorgio Chiellini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda