SHANGHAI, 25 Julai – Keadaan padang tidak rata dan cuaca panas menghilangkan keseronokan dalam kemenangan 1-0 Inter Milan ke atas Lyon kelmarin, dalam satu perlawanan persahabatan pra musim yang berlangsung di China.
Perlawanan yang berlangsung di Nanjing Olympic Sports Centre, gelanggang bagi pasukan Liga Super China, Jiangsu Suning, menyaksikan kedua pasukan bergelut dengan permukaan tidak rata dan cuaca panas.
Biro cuaca bandar tersebut telah mengeluarkan amaran merah bagi gelombang panas awal hari tersebut, mengarahkan kesemua kerja-kerja luar di bandar itu dihentikan ketika suhu mencapai 39 darjah Celsius, meskipun kepanasan itu jatuh menjelang sepak mula perlawanan itu.
Terdapat kurang aksi sehingga minit ke-19, apabila pemain Lyon, Bertrand Traore melepaskan rembatan dari jarak 20 meter dan mendapati bola melepasi gawang.
Beberapa peluang juga terlepas bagi pasukan Perancis itu menerusi percubaan Mariano dan Ferland Mendy.

Inter mula memecahkan kebuntuan pada minit ke-75 apabila Joao Mario berlari di sayap kanan. Pemain tengan Portugal itu kemudian membuat hantaran ke tengah menemui Stevan Jovetic, yang kemudian menjaringkan satu-satunya gol dalam perlawanan itu.
Selepas wisel penamat, para pemain Inter menaikkan kain rentang yang bertulis dalam Bahasa Cina: “Semua dunia adalah sebuah keluarga, terima kasih atas sokongan anda” di depan para penyokong yang jelas gembira.
Gergasi runcit China, Suning membantu Inter dari segi kewangan, dengan mendapatkan kepentingan dalam kelab Itali itu tahun lepas. – AFP