Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Golden Melon transformasi pelajar istimewa

    PASIR PUTEH, 25 SEPT – Projek fertigasi golden melon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku antara bukti pelajar kurang upaya berpotensi untuk hidup berdikari selepas tamat persekolahan sekiranya diberikan ilmu yang tepat dengan tahap kemampuan mereka. 

    Diusahakan oleh 18 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK)  tingkatan dua dan tiga dengan kebanyakannya mengalami masalah pembelajaran, pokok daripada keluarga tembikai susu itu ditanam dan dijaga sepenuhnya oleh mereka hidup subur dan memberikan hasil tuaian memberangsangkan.

    Bukan hanya bermatlamat membekalkan mereka dengan kemahiran hidup, projek ini juga bertujuan membina keyakinan diri serta daya saing pelajar istimewa tersebut dalam bidang pertanian moden.

    “Saya semai benih, alih anak pokok, baja setiap hari, kemudian kena kahwinkan bunga dan selepas itu pilih (putik) buah terbaik, tapi paling seronok apabila hari-hari dapat tengok buah makin besar sebab saya yang tanam sendiri,” kongsi Muhammad Jannatul Firdaus Abdullah, 16, seorang daripada pelajar terlibat dalam projek itu.

    Katanya, sebelum didedahkan kepada projek itu, dia langsung tidak tahu cara menanam pokok.

    Manakala rakan sekelasnya, Ahmad Azfar Atiqullah Abdullah, 16, pula meluahkan rasa bangga kerana dapat menyelesaikan rutin harian seperti membaja dan memeriksa pokok agar tumbuh dengan sihat.

    Antara buah golden melon yang sudah matang ketika tinjauan di projek fertigasi golden melon. – GAMBAR BERNAMA

    DARIPADA CILI KEPADA GOLDEN MELON

    Guru mereka Nor Azman Zakaria yang mengetuai projek itu, berkata usaha tersebut dilaksanakan di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan dimulakan pada 2013 namun dengan pelbagai tanaman lain khususnya cili.

    “Sebelum ini kita laksanakan projek fertigasi secara terbuka dengan tumpuan pada tanaman cili, tapi pada 2022,  Penolong Kanan Pendidikan Khas ketika itu Allahyarham Wan Muhammad Hafiz Wan Mohamad Ali mencetuskan idea Sistem Pelindung Hujan (SPH), dan selepas perbincangan dengan pihak perunding tanaman cili ditukarkan kepada golden melon.

    “Kenapa golden melon? Kerana golden melon ada permintaan yang tinggi tetapi tidak ramai yang usahakan. Namun, kita buat projek ini bukan untuk mencari keuntungan, sebaliknya mendedahkan pelajar kita kepada potensi tanaman pada masa akan datang,” jelasnya kepada Bernama.

    Beliau yang juga guru subjek Operasi Pengeluaran Tanaman Kemahiran Vokasional Spesifik (KVS), berkata projek itu akhirnya dilaksanakan pada 2024 dan berjaya menghasilkan tuaian memberangsangkan.

    “Untuk tahun ini kita kembangkan tapak daripada satu petak kepada tiga petak fertigasi yang dapat memuatkan hampir 400 polibeg golden melon,” tambahnya.

    Menurutnya, usaha tersebut dilaksanakan secara kerjasama dengan syarikat MCG Fertigation & Training yang menawarkan khidmat nasihat dan bantuan teknikal.

    Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku Nor Azman Zakaria (tiga,kiri) dan rakan sejawatnya Ridzuan Abdul Aziz bersama sebahagian daripada 18 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas di projek fertigasi golden melon. – GAMBAR BERNAMA

    MODUL PEMBELAJARAN

    Mengulas lanjut modul pembelajaran pula, Nor Azman berkata setiap peringkat penanaman dijadikan modul pembelajaran dan perlu diikuti oleh semua pelajar KVS terlibat.

    “Pelajar didedahkan kepada keseluruhan kitaran tanaman, bermula dari semaian, penjagaan harian, bancuhan baja, sistem pengairan hinggalah proses penuaian. Malah, mereka turut belajar teknik ‘mengahwinkan’ bunga bagi memastikan buah lebih berkualiti,” jelasnya, menambah buah dapat dipetik dalam tempoh 62 hingga 65 hari selepas ditanam.

    Menurutnya, buat masa ini mereka hanya menjalankan projek itu sekali setahun namun ada perancangan untuk menanam dua kali setahun pada masa akan datang.

    Beliau berkata modul itu juga menjadi sebahagian daripada sukatan pelajaran bagi memenuhi keperluan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Modular dalam bidang operasi pengeluaran tanaman.

    “Murid belajar mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan yang ditetapkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Mereka bukan sahaja dapat ilmu teori tetapi juga menjalani latihan amali yang akan dinilai secara rasmi oleh pihak berwajib,” katanya.

    Tambah Nor Azman, pelajar  yang terlibat akan dinilai berdasarkan tugasan bertulis, dokumentasi gambar aktiviti dan amali yang dilakukan sepanjang projek.

    “Apabila cukup umur (19 tahun), wakil JPK akan datang untuk menilai pencapaian mereka secara praktikal, selain memberi mereka sijil (SKM) yang diiktiraf negara,” katanya sambil menjelaskan pelajar istimewa terbabit tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sepertimana pelajar biasa.

    Menurut beliau lagi, sekolah itu juga diiktiraf sebagai Pusat Cawangan Bertauliah yang setaraf dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP).

    “Untuk mendapat pengiktirafan ini (yang melayakkan pelajarnya menerima pensijilan SKM Modular), pihak Bahagian Pendidikan Khas bekerjasama dengan JPK bagi membolehkan sekolah mempunyai kelengkapan dalam bidang-bidang tertentu mengikut standard JPK,” jelasnya lagi.

    Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku Ridzuan Abdul Aziz (kanan) menerangkan kepada pelajar, Ahmad Azfar Atiqullah berkenaan proses penanaman buah golden melon di projek fertigasi golden melon di sini baru-baru ini.
    –fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

    TRANSFORMASI MURID

    Menyentuh mengenai transformasi murid pula, Nor Azman berkata pelajar yang menyertai projek itu menunjukkan perubahan ketara daripada segi keyakinan diri, disiplin, kebolehan berdikari dan kemahiran berinteraksi dengan masyarakat.

    “Mereka bukan sahaja belajar bercucuk tanam, tetapi juga belajar tanggungjawab, bekerjasama sebagai pasukan yang membolehkan mereka berasa bangga apabila hasil tanaman mereka dibeli, mendapat sambutan baik daripada warga sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta penduduk setempat,” katanya.

    Tegasnya, walaupun melibatkan murid MBPK, projek berkenaan berjalan lancar tanpa cabaran besar kerana pelajar terlibat adalah mereka yang berkeupayaan sederhana dan boleh memahami arahan.

    Jika mereka mampu kuasai kemahiran ini, kita percaya selepas tamat sekolah mereka boleh menyertai program transisi kerjaya, menceburi bidang pertanian atau menguruskan tanaman sendiri.

    “Projek Fertigasi Golden Melon di SMK Cherang Ruku menjadi bukti bahawa murid berkeperluan khas tidak harus dipinggirkan,” katanya.

    Menerusi bimbingan, sokongan dan peluang yang betul, pelajar berkeperluan khas mampu berdikari, menghasilkan produk berkualiti, dan paling penting dapat menanam keyakinan mereka demi masa depan yang lebih cerah.

    “Harapan saya ialah agar projek ini bukan sahaja terus berkembang di sekolah ini, tetapi dapat dijadikan projek teras PPKI di daerah Pasir Puteh, malah diangkat Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai model nasional,” ujarnya. – BERNAMA

    Antara buah golden melon yang sudah matang ketika tinjauan di projek fertigasi golden melon di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di (SMK) Cherang Ruku baru-baru ini. – GAMBAR BERNAMA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda