Golf Amal Pusat Ehsan kembali

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Perlawanan Golf Amal Pusat Ehsan ke-19 kini kembali lagi untuk kali kedua tahun ini, di mana ia akan adakan selama tiga hari iaitu pada 29 November hingga 1 Disember di Kelab Golf Pantai Mentiri.

Perlawanan golf amal itu bakal menampilkan pemain golf tempatan, di mana selain bagi menguji bakat pemain, mereka juga dapat beraksi dalam kejohanan itu sambil beramal.

Perkara itu dijelaskan oleh Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Dato Paduka Haji Mohammad Alimin bin Haji Abdul Wahab dalam sidang media mengenai perlawanan golf amal berkenaan yang diadakan di Kelab Golf Pantai Menteri, hari ini.

Perlawanan golf amal itu dihasratkan untuk mengutip sumbangan bagi Pusat Ehsan daripada orang ramai, sektor swasta dan korporat, termasuklah dari segi tajaan dan sumbangan kepada perlawanan tersebut atau menyumbang derma secara langsung kepada pusat berkenaan.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada CityNeon atas sokongan bagi menjayakan perlawanan tersebut dan kepada Brunei Press Sdn Bhd menerusi Borneo Bulletin dan Media Permata yang terus memberikan sokongan kepada acara berkenaan sebagai penyokong media bagi perlawanan itu.

Sementara itu, pengerusi perlawanan, Awang Seruji bin Haji Setia berkata bahawa perlawanan itu dibuka kepada semua pemain golf termasuk pemain-pemain golf wanita, junior dan senior, di mana yuran pendaftaran bagi kejohanan adalah termasuk sarapan, makan tengah hari dan bugi dengan borang penyertaan untuk kejohanan boleh diperoleh di Kelab Golf Pantai Mentiri dan Pusat Ehsan.

Beliau semasa sidang media itu juga menerangkan bahawa perlawanan itu dijalankan berdasarkan Sistem 36 (Stroke Play), di mana pelbagai hadiah menarik menanti para pemain termasuk peluang untuk merebut Piala Cabaran Patron’s serta hadiah-hadiah bagi Hole-in-Ones dan hadiah-hadiah novelty.

Sehubungan itu, mereka yang berminat khususnya pemain golf tempatan dan luar negara adalah dialu-alukan untuk menyertai perlawanan golf berkenaan.

Dato Paduka Haji Mohd Alimin (dua dari kanan) memberikan penerangan mengenai perlawanan golf amal berkenaan.