Tuesday, March 18, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Golf Amal WBC kembali lagi

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Lebih 200 pemain golf bakal memeriahkan Kejohanan Golf Amal WBC, yang bakal kembali lagi di Kelab Golf Pantai Mentiri tahun ini.

    Kejohanan golf amal anjuran Majlis Perniagaan Wanita (WBC) dengan kerjasama Kelab Golf Pantai Mentiri akan menawarkan hadiah-hadiah yang menarik untuk direbuti oleh para pemain, sambil beramal untuk membantu golongan yang memerlukan di negara ini.

    Sebahagian daripada hasil kutipan akan disumbangkan kepada Persatuan Orang Berkerusi Roda dan Orang Cacat Anggota (PAPDA).

    Kejohanan tersebut diumumkan oleh Presiden Majlis Perniagaan Wanita, Datin Paduka Hajah Rokiah binti Haji Zakiah dan Pengerusi Kejohanan, Awang Seruji bin Haji Setia semasa sidang media mengenai kejohanan berkenaan di Kelab Golf Pantai Mentiri, hari ini.

    Menurut Awang Seruji, kejohanan itu merupakan kali ketiga dianjurkan oleh WBC setelah dua kali diadakan iaitu pada tahun 2014 dan 2017.

    Antara kategori-kategori yang dipertandingkan menurut beliau adalah Kategori Lelaki (bawah 55 tahun), Kategori Lelaki Senior (55 tahun ke atas), Kategori Wanita, Kategori VIP dan Kategori Penaja, di mana format perlawanan ialah sistem ‘36 Stroke Play’.

    Hadiah-hadiah lain yang turut ditawarkan pada kejohanan itu nanti termasuklah hadiah hole-in-one dan hadiah bagi peserta bertuah.

    Bagi mereka yang berminat untuk menyertai kejohanan berkenaan, mereka boleh mendapatkan borang penyertaan dan membayar yuran penyertaan di Kelab Golf Pantai Mentiri sebelum tarikh tutup penyertaan iaitu pada 11 September depan.

    Awang Seruji ketika memberikan penerangan mengenai kejohanan golf amal berkenaan pada sidang media yang berlangsung di Kelab Golf Pantai Mentiri kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda