PHNOM PENH, 15 NOV – Kemboja hari ini melancarkan program menyediakan latihan vokasional dan teknikal percuma kepada kira-kira 1.5 juta orang belia daripada isi rumah miskin dan kurang berkemampuan di seluruh negara.
Berucap pada majlis pelancaran di Phnom Penh, Perdana Menteri Hun Manet berkata program itu bertujuan melengkapkan mereka dengan kemahiran teknikal bagi membolehkan golongan muda mendapat pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik pada masa hadapan.
“Belia yang miskin dan kurang mampu bukan sahaja akan mendapat latihan secara percuma tetapi juga menerima elaun bulanan sebanyak AS$70,” katanya.
Para belia akan dapat belajar di sekolah vokasional dan teknikal di negara itu dalam 38 jurusan dalam 10 bidang keutamaan iaitu pembinaan, elektrik dan tenaga, elektronik, penghawa dingin dan pemanas, pembuatan, mekanik am dan mekanik automobil, pelancongan, perkhidmatan, pertanian dan agro-industri serta perniagaan dan teknologi maklumat.
“Kami yakin program itu akan menyumbang kepada mengurangkan kemiskinan negara ini kepada di bawah 10 peratus,” katanya.
Kadar kemiskinan di negara Asia Tenggara itu mencapai 16.6 peratus pada 2022, lebih rendah berbanding 36.7 peratus pada 2014, menurut laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Kemboja. – Xinhua