NEW YORK, 1 MEI – Golongan belia berusia antara 18 hingga 29 tahun di seluruh dunia kini berdepan pelbagai cabaran, bukan sahaja dari segi kebahagiaan, malah melibatkan kesihatan fizikal dan mental, persepsi terhadap diri sendiri, pencarian makna hidup, kualiti hubungan sosial dan keselamatan kewangan, menurut satu kajian baharu.
Data kajian yang dikumpulkan oleh Gallup sepanjang 2023 ini melibatkan lebih 200,000 responden dari lebih 20 negara dan diterbitkan dalam jurnal Nature Mental Health kelmarin, lapor Xinhua.
Kajian itu adalah sebahagian daripada siri penyelidikan berdasarkan gelombang pertama data Global Flourishing Study, hasil kerjasama antara penyelidik dari Universiti Harvard dan Universiti Baylor.
Dapatan kajian menunjukkan purata tahap ‘kemakmuran hidup’ (flourishing) berada pada paras rendah dalam kalangan peserta, khususnya di bawah umur 50 tahun.
Trend ini dikesan di beberapa negara termasuk United Kingdom, Brazil dan Australia.
Namun, perbezaan paling ketara antara golongan muda dan dewasa lebih berusia dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat, menurut laporan The New York Times yang memetik penyelidik kajian itu.
“Golongan belia selama ini dianggap melalui fasa hidup yang bebas dan penuh peluang, tetapi data kajian ini menunjukkan bahawa anggapan itu lebih bersifat ilusi berbanding realiti,” menurut laporan akhbar itu.
Profesor Psikologi dari Universiti Yale, Laurie Santos yang juga hos podcast The Happiness Lab, berkata hubungan sosial merupakan faktor penting kepada kebahagiaan, namun kini golongan muda menghabiskan masa yang jauh lebih sedikit bersama rakan-rakan berbanding sedekad lalu.
“Seperti semua lapisan usia, golongan muda turut berdepan pelbagai isu global — dari perubahan iklim, ekonomi hinggalah kepada polarisasi politik,” katanya. – Bernama/Xinhua
