Sunday, March 30, 2025
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Golongan kurang bernasib baik terus diberi perhatian

    Oleh Sim Y.H. & Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Golongan yang kurang bernasib baik terus diberikan perhatian dengan pemberian sumbangan derma daripada pelbagai pihak sempena bulan Ramadan ini.

    Lima buah keluarga di Daerah Brunei dan Muara telah menerima sumbangan berbentuk makanan asasi menerusi Program Ihsan Ramadan 1446H/2025M anjuran Jabatan Daerah Brunei dan Muara (JDBM) dengan kerjasama Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) hari ini.

    Rombongan berkenaan diketuai oleh Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

    Sementara itu, lapan buah keluarga yang memerlukan di keempat-empat daerah di Brunei Darussalam telah menerima barangan keperluan rumah dan kewangan daripada Pusat Timbangtara Brunei (BDAC) sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan semasa derma Ramadan, kelmarin.

    Pengagihan sumbangan berkenaan diketuai oleh Pengerusi BDAC, Yang Arif Radin Safiee bin Radin Mas Basiuni bersama pengurusan kanan dan pegawai BDAC.

    Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak menyempurnakan penyampaian sumbangan dalam Program Ihsan Ramadan, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JDBM
    Fazilah Yassin bergambar bersama keluarga yang menerima sumbangan dalam program Ihsan Kasih. – GAMBAR SERAHAN MPC
    Awang Rosman menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pelajar pada majlis itu. – GAMBAR SERAHAN SMB
    Haji Amir Hisham menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Mukim Lumapas pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN RAFI ROSLI
    Penyampaian sumbangan kepada para penerima bagi acara Jubli Emas Charity Drive, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN PIBG MAKTAB DULI PMAMB
    Antara yang menyertai kempen derma Ramadan anjuran BDAC kelmarin. – GAMBAR SERAHAN BDAC

    Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC) juga tidak ketinggalan dalam mengadakan program amal tahunan, Ihsan Kasih untuk menyokong enam keluarga dari Kampung Tanah Jambu, Lumapas dan Kota Batu, kelmarin.

    Rombongan yang terdiri daripada 10 orang kakitangan MPC, diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi, Fazilah Yassin telah mengagihkan pakej makanan dan barangan keperluan kepada keluarga-keluarga tersebut.

    Bagi menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti kebajikan, Belia Masjid Ashabul Akhyar, Kumpulan Belia Masjid Kampung Lumapas telah menganjurkan Program Jom Berbagi Rezeki buat kali pertama, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

    Program berkenaan bertumpu kepada 43 penerima terdiri daripada golongan fakir miskin, asnaf dan keluarga yang tidak berkemampuan di Kawasan Mukim Lumapas dan sekitar Kampung Lumapas.

    Program itu dimulakan di Masjid Kampung Lumapas dan seterusnya beredar ke rumah-rumah golongan yang memerlukan, yang mana ia dihasrat untuk mengeratkan silaturahim antara pihak masjid, belia dan masyarakat sekitar serta meningkatkan lagi kesedaran kepentingan berbagi rezeki di bulan yang penuh keberkatan ini.

    Selain itu, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sesi 2024-2026 Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) dan Kumpulan Sukarelawan Kebajikan dan Kemasyarakatan telah mengadakan Jubli Emas Charity Drive dan majlis penyampaian derma kepada asnaf fakir miskin dan anak-anak yatim Kampung Sungai Besar di Masjid Kampung Sungai Besar, kelmarin.

    Majlis dimulakan dengan ucapan daripada Pengerusi Kumpulan Kebajikan dan Kemasyarakatan, Awang Abidin bin Haji Musa, diikuti ucapan daripada Pengerusi AJKT PIBG Maktab Duli sesi 2024-2026, Awang Mohd Zain bin Haji Mohiddin.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada 27 buah keluarga asnaf dan 19 orang anak yatim dari Kampung Sungai Besar.

    Manakala 10 pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan dari Sekolah Menengah Berakas (SMB) telah menerima sumbangan dalam Majlis Khairat Ta’awun Fii Ramadan anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, baru-baru ini.

    Majlis penyampaian di Bilik Perpustakaan sekolah itu diketuai oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran, Awang Rosman bin Haji Kasah sebagai wakil Pengetua SMB.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda