SHIBERGHAN, AFGHANISTAN– Di Afghanistan yang dilanda perang dengan ramai orang kurang upaya hidup dalam kesengsaraan, Musawir Shija telah menubuhkan sebuah stesen radio FM untuk menunjukkan kemampuan orang-orang yang mengalami kecacatan fizikal.
Menurut Shija, kecacatan bukanlah kelemahan jika orang kurang upaya menggunakan keperibadian, kebijaksanaan dan kemampuannya dengan baik.
Shija menamakan menamakan stesen itu dengan namanya dan dia dengan bangganya mengatakan bahawa 15 orang termasuk wanita telah bekerja di stesen radio itu sejak perasmiannya dua bulan yang lalu.
“Kecacatan tidak bermaksud ketidakupayaan. Orang buta yang menjalankan stesen radio dan menggaji 15 orang untuk bekerja dalam perkhidmatan penyiaran adalah buktinya,” kata Shija kepada media.
Shija, 30, kehilangan penglihatan ketika berusia tujuh tahun kerana kecederaan akibat peperangan. Dia mengatakan stesen radio miliknya menyiarkan pelbagai program termasuk muzik sepanjang masa dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak orang kurang upaya dan status mereka dalam masyarakat.


Shija Radio adalah yang pertama seumpamanya yang disiarkan di Afghanistan.
“Kecacatan termasuk kebutaan bukanlah ketidakupayaan,” kata Shija. “Empat daripada 15 pekerja saya cacat dan mereka menunaikan tanggungjawab mereka dengan sempurna,” Shija, seorang bapa kepada tiga orang anak, berbisik gembira.
Nasira Mubariz, seorang wanita berusia 17 tahun yang bekerja sebagai pembaca berita di radio itu, mengatakan bahawa dia menghabiskan gajinya dari stesen itu untuk pendidikannya.
Orang kurang upaya di Afghanistan yang dilanda konflik, menurut Mubariz, terdiri daripada ‘golongan terpencil’ dalam masyarakat kerana orang jarang menghormati hak mereka.
“Sebelum bergabung dengan Shija Radio, saya seorang yang terpinggir dalam masyarakat dan sering dihina oleh banyak orang termasuk orang asing dan saudara-mara, tetapi pada masa ini ahli keluarga dan rakan saya mendekati saya dengan sopan,” jelas Mubariz.
Mubariz juga meminta agensi bantuan kerajaan dan bukan kerajaan untuk memainkan peranan mereka dalam pemulihan orang kurang upaya termasuk lelaki dan wanita buta untuk meningkatkan status mereka dalam masyarakat serta membantu mereka untuk berdikari.
Seramai 125 orang buta yang kehilangan kemampuan penglihatan mereka kerana insiden dalam peperangan berlarutan telah didaftarkan di wilayah Jawzjan utara, kata pegawai tempatan.
Walaupun tidak ada statistik rasmi mengenai angka orang cacat penglihatan yang tinggal di Afghanistan, menurut laporan media, sekitar 400,000 orang kehilangan penglihatan mereka akibat kecederaan yang dialami semasa peperangan yang berpanjangan dan perang saudara di negara musnah akibat perang itu.
“Sebagai manusia, kami orang buta berhak menikmati kehidupan terhormat. Kita berhak untuk belajar, bekerja dan menjalani kehidupan seharian,” kata Ahmad Baes, dilahirkan buta 16 tahun lalu di ibu kota wilayah Jawzjan, Shiberghan City, kepada media. – Xinhua.