Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Golongan memerlukan terus dipeduli

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Dengan matlamat meringankan bebanan yang ditanggung golongan memerlukan dari segi keperluan barangan harian lebih-lebih lagi di kala tanah air berdepan dengan penularan pandemik COVID-19, Al-Huffaz Leaders di bawah Syarikat Al-Huffaz Management telah meneruskan pengagihan misi bantuan sumba-ngan menerusi Projek Brunei Kasih khusus di Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.

    Pengagihan sumbangan berkenaan telah diketuai oleh Pengurus Projek Al-Huffaz Leaders, Dayang Nur ‘Alia Syazwani binti Haji Maidin dengan dibantu lebih 10 ahli projek lain yang mana 16 keluarga telah menerima perkongsian rezeki berkenaan.

    Sumbangan berupa barangan keperluan seperti beras, gula, minyak, ubi kentang, mi segera, air minuman dan sebagainya itu adalah hasil sumbangan seangkat-angkat hati daripada orang ramai di negara ini.

    Sebelum ini proses pengumpulan sumbangan telah diadakan di ibu pejabat syarikat tersebut dari 20 hingga 30 September lalu.

    Ketika ditemui Media Permata secara maya, Dayang Nur ‘Alia Syazwani meluahkan perasaan syukur projek berkenaan telah berjalan lancar sehingga kini di mana ia juga merupakan salah satu usaha untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW melalui amalan bersedekah di kalangan masyarakat.

    “Di samping itu, ia juga dapat melahirkan rasa prihatin dan peduli terhadap orang-orang yang kurang bernasib baik dalam kalangan masyarakat dan begitu juga bagi mewujudkan masyarakat yang bersatu-padu dalam melaksanakan pelbagai amal kebajikan demi menggapai limpahan rahmat Illahi di dunia dan akhirat,” tambahnya lagi.

    Secara keseluruhan, sebanyak 38 keluarga yang memerlukan telah menerima sumbangan bantuan berkenaan di keempat-empat daerah di mana sebelumnya sumbangan bantuan itu telah diberikan kepada lima keluarga di Daerah Temburong, lapan keluarga di Daerah Tutong dan Daerah Belait pula sebanyak sembilan keluarga yang dilaksanakan sekitar awal bulan Oktober lalu.

    Salah seorang ahli menghantar sumbangan dalam Projek Brunei Kasih khusus di Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini. – Gambar serahan Al-Huffaz Leaders
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda