Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Persatuan Nurul Islam (PNI) Daerah Brunei dan Muara bersama dengan Bahagian Pembangunan Mualaf (Pengupayaan Mualaf), Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dengan sokongan ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar telah mengendalikan Majlis Ilal Hijrah 1446 di masjid berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Pada majlis itu, Yang Di-Pertua PNI, Haji Mohd Hazwan bin Abdullah dalam ucapannya antara lain menjelaskan bahawa penghijrahan adalah permulaan dan semestinya penghijrahan itu tidak terhenti setakat melafazkan Dua Kalimah Syahadah sahaja.
“Penghijrahan itu harus terus berjalan dari semasa ke semasa dengan memperdalami ilmu agama, baik fardu ain mahupun fardu kifayah. Adab dan akhlak yang berteraskan Islam juga perlu dipelajari,” jelasnya.
“Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalan sentiasa membuka luas pintunya dalam memberikan bimbingan kepada saudara mualaf dalam mendalami dan menghayati Islam,” tambahnya.
Di samping itu, agensi lain seperti institusi masjid juga tidak kurang memberikan bimbingan kepada saudara baharu dalam mempelajari ilmu agama, jelasnya, selain kelas-kelas mengaji Al-Quran pada setiap Jumaat, dan semua peluang itu hanya terpulang kepada kemahuan dan usaha saudara baharu menerima bimbingan itu dengan semangat penghijrahan.
Antara pengisian majlis ialah bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan Selawat Tafrijiyyah yang dipimpin oleh Awang Saifullah bin Haji Muhd Sofian.
Turut hadir ialah Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin serta tetamu khas, ahli-ahli PNI, para pelajar Kelas Bimbingan Mualaf, para pegawai dan kakitangan PDI serta ahli Jawatankuasa Takmir MRSB, Kampung Sungai Akar.