Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan, Armada Properties baru-baru ini telah menganjurkan acara Hari Belia Popup sebagai sokongan dan komitmen untuk menyokong golongan muda seterusnya memupuk semangat kemasyarakatan dan meningkatkan perniagaan tempatan.
Acara yang berlangsung di Pusat Rekreasi Estet Tungku itu telah menyaksikan lebih 300 penyewa Armada tidak melepaskan peluang dalam sama-sama memberi sokongan kepada golongan pengusaha belia di negara ini.
Pengusaha belia tempatan mengambil peluang acara itu sebagai platform untuk mengetengahkan perkhidmatan, produk dan kemahiran mereka.
Acara turut dimeriahkan dengan penyertaan belia muda yang memiliki perniagaan trak makanan dengan menawarkan pelbagai hidangan menyelerakan daripada makanan Thailand hinggalah burger buatan sendiri dan pelbagai jenis minuman.
Reflection by the Jayys (RFJ), program inkubasi Pembangunan Perniagaan Tempatan (LBD) Armada telah mempamerkan semangat keusahawanan mereka dengan menyediakan perkhidmatan cuci kereta premium dengan harga yang kompetitif semasa acara itu.
Di samping itu, acara juga menyaksikan koleksi haiwan eksotik peliharaan Ilham Hamid yang mana beliau juga mengambil peluang berkongsi pandangan dengan penyewa Armada tentang cara penjagaan pelbagai haiwan reptilia, mamalia, invertebrata dan serangga.
Selain itu, sekumpulan artis jalanan tempatan yang berbakat, Guerilla Artchitects menghias dinding pusat rekreasi dengan karya kreatif mereka dengan menyediakan latar belakang mural bertajuk Best of Brunei: A Kaleidoscope of Culture and Colour yang bertujuan untuk menangkap gabungan estetika bandar moden dan pelbagai aspek budaya yang mentakrifkan Brunei.


