(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 2
SELAIN yang telah dinyatakan di siri yang lalu, antara beberapa perkara atau perbuatan lain yang menyebabkan Allah tidak akan memandang pelakunya pada Hari Kiamat ialah:
1) Al-isbal dengan tujuan sombong takbur
Diriwayatkan daripada Abu Dzarr, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat, dan tidak akan memandang kepada mereka, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa) dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Berkata Abu Dzarr: “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam membacanya tiga kali.” Berkata Abu Dzarr: “Mereka telah kecewa dan rugi, siapakah mereka wahai Rasullullah?” Baginda bersabda: “Orang yang melabuhkan pakaiannya, pengungkit (pemberian), dan orang yang melariskan barangannya dengan sumpah dusta.” (Hadis riwayat Muslim)
Al-musbil bererti orang yang melabuhkan atau memanjangkan pakaiannya sehingga melimpasi buku lali dengan sombong takbur. Perbuatan ini termasuk dalam dosa-dosa besar jika disertai dengan sombong takbur, sebagaimana sabda Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya, “Allah tidak akan memandang pada Hari Kiamat kepada sesiapa yang mengheretkan kainnya dengan sombong takbur.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sabda Baginda lagi yang maksudnya, “Kain yang terkebawah dari dua buku lali adalah di dalam neraka.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Adapun jika tidak disertai dengan sombong takbur, maka tidaklah termasuk dalam larangan tersebut. Hal ini pernah terjadi kepada Saiyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘anhu yang mana beliau memakai pakaian tersebut akan tetapi Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak melarangnya, sabda Baginda: “Engkau tidaklah tergolong dengan mereka (orang yang memanjangkan pakaian), kerana engkau memakainya bukan dengan sombong takbur.”
Sementara perempuan adalah disyariatkan dengan ijma‘ untuk melabuhkan atau memanjangkan pakaiannya bagi menutup aurat. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Sesiapa yang mengheretkan pakaiannya dengan sombong takbur, nescaya Allah tidak akan memandang kepadanya pada Hari Kiamat.”
Berkata Ummu Salamah: “Bagaimanakah hendak dilakukan oleh perempuan dengan hujung pakaian mereka?” Baginda bersabda: “Hendaklah dia melabuhkan (pakaian itu) sejengkal (dari pertengahan betis).”
Ummu Salamah berkata: “Jika demikian akan terdedah kaki mereka.” Baginda bersabda: “Hendaklah dia melabuhkannya sehasta tidak lebih dari itu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
2) Mengungkit-ungkit pemberian
Mengungkit-ungkit pemberian adalah perbuatan yang terkeji, kerana pada kebiasaannya perbuatan ini terjadi dari kebakhilan, sombong takbur dan lupa kepada anugerah Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Perbuatan mengungkit-ungkit pemberian ini termasuk dalam dosa-dosa besar. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat (mereka ialah): Pengungkit yang dia tidak akan memberikan sesuatu melainkan diungkit-ungkitnya, dan orang yang melariskan barangannya dengan sumpah dusta, dan orang yang melabuhkan kainnya.” (Hadis riwayat Muslim)
Perbuatan mengungkit-ungkit pemberian itu juga menyebabkan rosaknya pahala pemberian itu, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (ria), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari Akhirat.” (Surah al-Baqarah: 264)
3) Orang tua yang berzina, pemerintah yang pembohong dan fakir yang sombong takbur
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Tiga golongan manusia yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa). Berkata Abu Mu‘awiyah: “dan Allah tidak akan memandang kepada mereka dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya (mereka ialah): Orang tua penzina, dan pemerintah pembohong, dan orang fakir yang sombong takbur.” (Hadis riwayat Muslim)
Menurut al-Qadhi ‘Iyadh Rahimahullah bahawa sebab mengapa Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam mengkhususkan tiga golongan tersebut, kerana mereka melazimkan perbuatan maksiat itu sedangkan pada mereka tidak ada dorongan, hajat atau alasan yang kukuh untuk mereka melakukannya.
Maka perbuatan maksiat yang mereka lakukan itu adalah seumpama derhaka dan meringan-ringankan hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan senghaja melakukannya semata-mata kerana maksiat itu, bukan kerana perkara-perkara lain.
Bagi golongan orang tua, mereka mempunyai pengetahuan dan pemikiran mereka sempurna berbanding orang muda disebabkan sudah lama menempuh hidup, dorongan dan sebab-sebab untuk melakukan persetubuhan serta nafsu kepada perempuan sudah berkurangan, maka bagaimana pula mereka sanggup melakukan perzinaan lagi.
Demikian juga pemerintah, untuk apa dia berbohong? Dia tidak memerlukan kepada penipuan dan kepura-puraan kerana tidak ada rakyat jelata yang ditakutinya. Berbeza dengan orang biasa, kadang-kadang mereka menipu dan berpura-pura kepada orang yang mengancamnya kerana takut disakiti atau dianiaya.
Begitulah juga dengan orang fakir, untuk apa dia berlaku sombong takbur? Sedangkan dia tidak memiliki kekayaan dunia.
Oleh itu perbuatan mereka itu tidak lain hanyalah semata-mata maksiat dan meringan-ringankan hak Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
4) Derhaka kepada Ibu Bapa
Anak yang derhaka kepada ibu bapa tidak akan dipandang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan tidak akan masuk ke syurga, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya, “Tiga golongan manusia yang tidak masuk syurga, dan Allah tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat (mereka ialah): Penderhaka kepada kedua ibu bapanya, dan perempuan yang kelaki-lakian yang menyerupai lelaki, dan orang yang dayyuts, dan tiga orang yang Allah tidak akan memandang kepada mereka pada Hari Kiamat (mereka ialah): Penderhaka kepada kedua ibu bapanya, dan peminum arak, dan pengungkit dengan apa yang telah diberikan.” (Hadis riwayat Ahmad)
Derhaka kepada ibu bapa juga adalah salah satu daripada dosa-dosa besar yang paling besar. Sabda Baginda yang maksudnya, “Dosa-dosa besar yang paling besar ialah menyekutukan Allah, membunuh jiwa, menderhaka kepada ibu bapa dan perkataan bohong atau sabda Baginda: “dan persaksian bohong.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu terletak pada keredhaan ibu bapa, sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya, “Keredhaan Allah itu dari keredhaan kedua ibu bapa dan kemurkaan Allah dari kemurkaan kedua ibu bapa.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
5) Perempuan menyerupai lelaki atau sebaliknya
Perbuatan menyerupai ini tidak akan dipandang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala malah tidak akan dimasukkan ke syurga, sebagaimana hadits yang telah disebutkan sebelum ini.
Perbuatan menyerupai ini juga dilaknat oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam. Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata yang maksudnya, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam melaknat laki-laki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
6) Dayyuts dan peminum arak
Dayyuts ialah orang yang tahu dan redha akan kemungkaran yang terjadi kepada ahli keluarganya dan tidak ada rasa cemburu terhadapnya. Orang yang dayyuts dan peminum arak tidak akan dipandang oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala, sebagaimana hadis yang telah disebutkan sebelum ini.
Ia juga tidak akan dimasukkan ke syurga selama-lamanya, sebagaimana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Tiga golongan manusia yang tidak masuk syurga selama-lamanya (mereka ialah): Dayyuts dari kalangan lelaki, dan perempuan yang berketerampilan seperti lelaki, dan peminum arak.” Maka mereka bertanya: “Wahai Rasulullah! Adapun peminum arak itu kami telahpun mengetahuinya, apakah ia dayyuts dari kalangan lelaki itu?”
Baginda bersabda: “Yang tidak menghiraukan sesiapa yang masuk ke dalam keluarganya.” Kami bertanya: “Perempuan yang berketerampilan seperti lelaki?” Baginda bersabda: “Yang menyerupai lelaki.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
7) Lelaki yang meliwat
Perbuatan meliwat atau mendatangi perempuan ataupun lelaki melalui dubur adalah perbuatan terkutuk. Ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak akan memandangnya di Hari Kiamat kelak. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
“Allah tidak akan memandang kepada lelaki yang mendatangi lelaki atau perempuan melalui duburnya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Begitulah sebilangan perkara yang menyebabkan seseorang itu terjauh daripada pandangan dan rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala di akhirat kelak. Oleh itu sayugia kita elakkan dan jauhkan diri kita, keluarga kita dari perkara-perkara keji dan mungkar, semoga kita sentiasa di bawah perlindungan dan rahmat Allah jua.