MANILA, 1 NOV – Kira-kira tujuh orang terbunuh ketika Taufan Goni membadai Filipina hari ini, menerbangkan bumbung, menumbangkan tiang elektrik dan mencetuskan banjir di kawasan yang dilanda teruk di mana ratusan ribu telah melarikan diri dari rumah mereka.
Taufan itu, yang terkuat pada tahun ini juga mencetuskan tanah runtuh yang menguburkan sebahagian rumah di bahagian selatan pulau Luzon, kata para pegawai.
Goni merupakan ‘taufan kuat’ ketika ia membuat pendaratan di Pulau Catanduanes sebelum Subuh, membawa angin kencang sekitar 225kmsj.
Ia kemudian mereda beberapa jam kemudian selepas membadai seluruh Luzon dan mengurangkan intensitinya ketika menuju ke bandar Manila, di mana bandar dengan penduduk 12 juta itu berdepan angin kuat pada malamnya.
“Angin memusnahkan dan hujan lebat’ telah menjejaskan kawasan di laluan taufan itu, termasuk wilayah dekat bandar, kata peramal kaji cuaca negara memberi amaran kemas kini terbaharunya.

Goni muncul seminggu selepas Taufan Molave melanda rantau kepulauan sama yang mudah terdedah pada bencana alam, membunuh 22 orang.
Kira-kira tujuh orang terkorban di wilayah Albay, kata Pertahanan Awam dalam satu kenyataan.
Beberapa mangsa meninggal dunia akibat debu gunung berapi yang runtuh dicetuskan oleh hujan yang polis katakan telah menenggelamkan beberapa buah rumah di kampung bersebelahan dekat gunung berapi Mayon di wilayah itu.
“Kami telah menemukan tiga mayat dan mencari tiga yang lain,” kata Mejar Domingo Tapel, ketua polis di bandar Guinobatan.
Bumbung di dua pusat pemindahan telah diterbangkan angin manakala beberapa buah kampung telah dibanjiri.
Hampir 400,000 penduduk telah meninggalkan rumah mereka, kebanyakannya menuju ke pusat pemindahan, kata Pertahanan Awam.
Di Manila, lapangan terbang telah ditutup manakala penduduk dari kawasan tanah rendah yang berisiko dibanjiri telah dipindahkan. – AFP