Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Pasukan pemain permainan siber yang mewakili Brunei, Goodfellas Academy telah berjaya mendapat tempat kedua daripada lapan finalis dalam kejohanan Redbull Coliseum Collegiate, semalam.
Ketua pasukan, Hawaii dipetik menyatakan bahawa dalam kejohanan yang diadakan di Dewan Pusat Sivik MBPJ, Kuala Lumpur, Goodfellas bermula dengan kekalahan kepada Team YB kemudian mengalahkan Pasukan Anonymous dari Singapura.
Pasukan yang merangkumi tiga orang pemain muda akademi iaitu Simon, Fazlie dan Tao Jian serta dua orang pemain veteran iaitu Kamil Faizzin dan Amirul Amin itu kemudian menebus kekalahan dengan kemenangan ke atas Team YB yang kalah kepada Pasukan thegamingco.
Dalam pusingan separuh akhir, Pasukan Goodfellas bangkit daripada kekalahan peta pertama dengan memenangi peta kedua dan ketiga untuk menyingkirkan Virtual Genesis.Anthrax kemudian mara ke pusingan akhir menentang thegamingco dengan Goodfellas berjaya mendahului dalam peta pertama.
Bagaimanapun, Goodfellas gagal mengekalkan momentum dan melepaskan peta kedua dan ketiga, akhirnya mengaku kalah dan akur di tempat kedua.
Ini merupakan kali pertama Pasukan Goodfellas bertanding di luar negara dengan barisan lima orang pemain, ujar Hawaii sambil menambah bahawa beliau sangat berbangga melihat mereka dapat mengatasi tekanan dan berkembang.
Sebelum ke peringkat akhir, Pasukan Goodfellas memenangi CSGO Brunei peringkat kelayakan Kejohanan Collegiate Cyber selepas bertemu Exidium dalam tiga peta CSGO pada 12 Ogos lalu dan secara automatik mewakili Brunei ke peringkat akhir di Kuala lumpur, Malaysia.
