SEOUL, 9 SEPT – Google hari ini menyatakan mereka akan mematuhi arahan kerajaan Korea Selatan untuk mengaburkan gambar satelit sensitif pada perkhidmatan pemetaannya, sekali gus membuka jalan bagi gergasi teknologi AS itu bersaing dengan lebih baik dengan platform navigasi tempatan.
Korea Selatan merupakan antara segelintir negara di dunia, seperti Rusia dan China, di mana Google Maps tidak berfungsi sepenuhnya.
Hal ini disebabkan kerana undang-undang Korea Selatan yang mewajibkan syarikat menyimpan data geospatial teras secara tempatan, sesuatu yang lama ditolak oleh Google.
Akibatnya, firma teknologi tempatan seperti Naver dan Kakao telah menguasai pasaran perkhidmatan peta, menjadikan navigasi lebih sukar bagi pelawat asing yang tidak biasa dengan platform mereka.

Google hari ini turut mengesahkan buat pertama kali mereka akan akur dengan tuntutan Seoul.
“Kami telah mengesahkan komitmen kami dengan kerajaan untuk mengaburkan imej satelit sebagaimana diperlukan, dan kami akan meneroka untuk mendapatkan imej daripada pihak ketiga Korea yang diluluskan jika sesuai,” kata Naib Presiden Google, Cris Turner, kepada wartawan.
Pengumuman itu menunjukkan berakhirnya pertikaian hampir dua dekad, di mana Google berusaha mendapatkan akses kepada peta terperinci Korea Selatan bagi menawarkan arahan berjalan kaki dan pemanduan penuh, namun Seoul enggan mengeksport data tersebut atas alasan keselamatan negara. – AFP

