Tuesday, September 17, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Google berdepan perbicaraan antipersaingan

    ALEXANDRIA, 9 SEPT – Google berdepan perbicaraan antipersaingan kedua dalam tempoh kurang setahun hari ini, di mana kerajaan Amerika Syarikat (AS) menuduh gergasi teknologi itu menguasai pengiklanan dalam talian dan menyekat persaingan.

    Perbicaraan di mahkamah persekutuan di utara Virginia menyusuli kes berasingan di mana seorang hakim bulan lalu mendapati perniagaan carian Google sebagai monopoli haram.

    Perbicaraan kes baharu itu, juga dihadapkan oleh Jabatan Kehakiman AS, memfokuskan pada teknologi iklan.

    Kerajaan AS secara khusus mendakwa Google mengawal pasaran untuk menerbitkan iklan sepanduk di laman web, termasuk kebanyakan pencipta dan pembekal berita.

    “Google telah menggunakan kaedah antipersaingan, pengecualian dan yang menyalahi undang-undang untuk menghapuskan atau mengurangkan sebarang ancaman terhadap penguasaan teknologi pengiklanan digital,” menurut aduan itu.

    Peguam kerajaan mendakwa Google telah menggunakan pengaruh kewangannya untuk memperoleh pesaing yang berpotensi dan memonopoli pasaran teknologi iklan, menyebabkan pengiklan dan penerbit tiada pilihan selain menggunakan teknologinya.

    Mereka berusaha meminta Google melepaskan sebahagian daripada perniagaan teknologi iklannya.

    Bagaimanapun, Google menolak dakwaan itu sebagai tidak berasas dan mengatakan ia melanggar prinsip undang-undang antipersaingan yang membantu memacu pertumbuhan ekonomi dan inovasi.

    “Kes itu juga salah berdasarkan fakta, di mana Google berharap akan membuktikannya,” kata syarikat itu dalam pemfailan mahkamah. – AFP

    Gambar fail bertarikh 8 Oktober 2010 menunjukkan logo Google yang terdapat di ibu pejabatnya di Mountain View, California. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda