SAN FRANCISCO, 18 DIS – Makmal penyelidikan kecerdasan buatan utama Google, DeepMind, pada Isnin memperkenalkan Veo 2, teknologi AI generasi baharu untuk penghasilan video dan pengganti kepada versi terdahulu, Veo.
Menurut DeepMind, Veo 2 mampu menghasilkan klip video berdurasi lebih dua minit dengan resolusi setinggi 4K (4096 x 2160 piksel), sekali gus mengatasi kebolehan pesaingnya, Sora keluaran OpenAI, dengan resolusi empat kali ganda lebih tinggi dan durasi enam kali lebih panjang.
Namun, dalam alat ciptaan video eksperimental Google yang dikenali sebagai VideoFX, di mana Veo 2 hanya tersedia secara eksklusif, video yang dihasilkan ketika ini dihadkan pada resolusi 720p dengan durasi maksimum lapan saat.
Google turut memaklumkan bahawa pihaknya akan memperluaskan akses kepada pengguna VideoFX dalam minggu ini.
“Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan terus menambah baik berdasarkan maklum balas pengguna,” kata Naib Presiden Produk DeepMind, Eli Collins.
Sama seperti Veo, Veo 2 berfungsi dengan menjana video berdasarkan prompt teks atau gabungan teks dan imej rujukan. Ia juga lebih canggih dalam pemodelan gerakan, dinamik bendalir, serta sifat cahaya, termasuk kesan lensa dan sinematik, serta ekspresi manusia yang lebih realistik dan terperinci.
“Kekonsistenan dan koherensi masih menjadi aspek yang perlu dipertingkatkan. Selain itu, terdapat ruang untuk menambah baik dalam menjana butiran kompleks, pergerakan pantas, serta mencapai tahap realisme yang lebih tinggi,” tambah Collins.
Bagi menangani risiko deepfake, teknologi penanda air proprietari SynthID digunakan untuk menanam penanda tidak kelihatan pada setiap bingkai video yang dihasilkan oleh Veo 2, jelas DeepMind. – Xinhua