INDIANAPOLIS, 1 JAN — Google akan membayar AS$20 juta kepada Indiana untuk menyelesaikan tuntutan mahkamah di antara kerajaan negeri dan syarikat teknologi gergasi berkenaan atas dakwaan mengamalkan pengesanan lokasi yang mengelirukan, umum Peguam Negara, Todd Rokita.
Rokita memfailkan tuntutan mahkamah yang berasingan ke atas Google apabila perundingan di antara syarikat tersebut dan pakatan peguam negara terhenti, katanya. Negeri-negeri tersebut telah bersetuju untuk menerima pembayaran sebanyak AS$391.5 juta pada bulan November.
Disebabkan oleh tuntutan mahkamah yang berasingan, Indiana akan menerima hampir dua kali ganda wang yang bakal mereka terima di bawah perjanjian dengan pakatan 40 negeri.
“Penyelesaian ini merupakan manifestasi kepada komitmen kami untuk melindungi Hoosiers daripada skim intrusif syarikat Big Tech,” kata Rokita. Negeri-negeri di Amerika Syarikat (AS) mula menjalankan penyiasatan selepas laporan Associated Press pada tahun 2018 mendapati Google masih mengesan data lokasi pengguna walaupun selepas mereka menarik diri daripada ciri pengesanan tersebut dengan menyahaktifkan ciri-ciri yang digelar oleh syarikat tersebut sebagai ‘sejarah lokasi.’ – AP