Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Google didenda terlibat perjanjian antipersaingan

    MELBOURNE, 18 OGOS – Google bersetuju membayar denda sebanyak 55 juta dolar Australia (AS$36 juta) selepas menandatangani perjanjian antipersaingan dengan dua syarikat telekomunikasi terbesar Australia yang menghalang pemasangan enjin carian pesaing pada sesetengah telefon pintar, menurut syarikat teknologi gergasi AS itu dan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC).
     
    ACCC dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memulakan prosiding di Mahkamah Persekutuan Australia hari ini terhadap Google Asia Pacific yang berpusat di Singapura. Mahkamah akan menentukan sama ada penalti AU$55 juta (AS$36 juta) itu sesuai.
     
    Di bawah perjanjian antipersaingan yang berlangsung selama 15 bulan sehingga Mac 2021, Telstra dan Optus hanya memasang aplikasi Google Search pada telefon Android yang dijual kepada pelanggan, manakala enjin carian lain diketepikan. Sebagai balasan, syarikat tersebut menerima sebahagian hasil pendapatan iklan yang dijana Google daripada pelanggan berkenaan.
     
    Google mengakui bahawa perjanjian itu berkemungkinan menyebabkan “pengurangan besar terhadap persaingan,” menurut ACCC.
     
    Google juga telah menandatangani satu perjanjian yang boleh dikuatkuasakan oleh mahkamah, yang mewajibkan syarikat itu membuang sekatan tertentu berkaitan pemasangan awal dan tetapan lalai enjin carian daripada kontraknya dengan pengeluar telefon Android serta syarikat telekomunikasi, kata ACCC.
     
    Dalam kenyataannya, Google berkata, “Kami gembira dapat menyelesaikan kebimbangan ACCC, yang melibatkan syarat yang sudah lama tidak digunakan dalam perjanjian komersial kami.”
     
    Pengerusi ACCC, Gina-Cass Gottlieb berkata, “Tindakan yang menyekat persaingan adalah menyalahi undang-undang di Australia kerana ia biasanya bermaksud pilihan lebih terhad, kos lebih tinggi atau perkhidmatan lebih buruk untuk pengguna.”
     
    “Penting untuk difahami, perubahan ini berlaku pada masa alat carian berasaskan AI sedang merevolusikan cara kita mencari maklumat, sekali gus mewujudkan persaingan baharu,” tambahnya. – AP
     
    Sekumpulan kakitangan Google di perkarangan ibu pejabat syarikat tersebut di London, United Kingdom. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda