NEW YORK, 19 MAC – Google berkata kelmarin ia akan memperoleh platform keselamatan awan Wiz pada harga AS$32 bilion, memetik keperluan untuk kapasiti keselamatan siber yang lebih besar apabila kecerdasan buatan (AI) digunakan dalam infrastruktur teknologi.
“Perjanjian tunai itu akan membawa Wiz ke dalam operasi Google Cloud, sekali gus meningkatkan kapasiti pengguna untuk menggunakan ‘pelbagai awan’ dan menyediakan platform keselamatan keseluruhan untuk pelanggan, dari semua jenis dan saiz, dalam era AI,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan bersama.
“Pengaruh AI yang semakin berkembang pesat menjadikan keselamatan siber semakin penting dalam mempertahankan daripada risiko yang timbul di samping melindungi keselamatan negara,” tambah mereka.
Urus niaga itu, yang terbesar pernah dicari oleh Google atau syarikat induk Alphabet, akan menguji dasar terbuka Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, terhadap pengambilalihan besar selepas bantahan terhadap perjanjian sedemikian oleh pentadbiran pendahulunya, Joe Biden.
Alphabet hampir-hampir mengambil alih Wiz pada musim panas lalu, tetapi pemimpin syarikat memilih untuk kekal bebas pada masa itu dengan mengutamakan tawaran awam permulaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Wiz, Assaf Rappaport, dalam mesej kepada pekerja selepas perjanjian awal itu menemui kegagalan.
Ditubuhkanpada 2020 oleh Rappaport dan pasukan yang menjual usaha niaga sebelumnya kepada Microsoft, Wiz mempunyai ibu pejabat di New York, dengan pejabat-pejabat di tiga bandar AS yang lain dan Tel Aviv. – AFP
