Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Google, Facebook dipaksa bayar kandungan berita

SYDNEY, 31 JULAI – Australia akan membentangkan draf undang-undang hari ini bagi memaksa Google dan Facebook membayar agensi media untuk kandungan berita.

Bendahari, Josh Frydenberg, mengumumkan ‘kod tatacara mandatori’ bagi menyelaras semula hubungan antara sektor media yang teruk terjejas dan gergasi media sosial itu selepas rundingan selama 18 bulan menemui jalan buntu.

Selain bayaran bagi kandungan berita, kod itu menyentuh isu seperti akses kepada data pengguna, kedudukan kandungan itu dalam pentas berita dan hasil pencarian.

Frydenberg berkata peraturan itu akan diperkenalkan di Parlimen Ogos ini, termasuk penalti mencecah jutaan ringgit kepada syarikat teknologi yang melanggarnya.

Tambah beliau, peraturan itu akan terpakai kepada mana-mana pentas digital yang menggunakan kandungan berita Australia.

Bagaimanapun, pada peringkat permulaan, ia akan menumpukan kepada dua syarikat gergasi media sosial dunia, Facebook dan Google.

Inisiatif Australia itu mendapat perhatian global memandangkan agensi media di seluruh dunia terjejas teruk dengan kepesatan ekonomi digital apabila pendapatan iklan kini beralih kepada firma teknologi besar seperti Facebook dan Google.

Dalam pada itu, Facebook dan Google menentang keras pelaksanaan peraturan itu, yang memaksa mereka berkongsi pendapatan daripada hasil pengiklanan.

Mereka turut membayangkan kemungkinan untuk memboikot agensi media Australia sekiranya peraturan itu dilaksanakan. – AFP

Gambar fail menunjukkan ikon telefon bimbit Google dipamerkan di Philadelphia. Kerajaan Australia berkata ia merancang memberikan Google dan Facebook tiga bulan untuk membayar isi kandungan berita. – AP
- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda