TOKYO, 23 DIS – Pihak berkuasa Jepun akan menyerahkan perintah pemberhentian kepada Google berhubung dakwaan pencabulan antipersaingan dalam langkah pertama seumpama itu terhadap firma teknologi Amerika Syarikat (AS), kata sumber kerajaan hari ini.
Suruhanjaya Perdagangan Adil Jepun (JFTC) menuduh Google melanggar undang-undang dengan mengenakan ‘urus niaga dengan syarat terikat’ ke atas pengeluar telefon pintar Android di Jepun.
Secara khusus, ia mengatakan bahawa Google memastikan kedai aplikasi dalam taliannya, Google Play perlu dipasang sebagai sebahagian daripada pakej dengan aplikasi carian penyemak imbas webnya Chrome.
Google Play digunakan secara meluas sehingga tanpanya, ‘peranti Android pada dasarnya tidak boleh dijual,’ kata sumber itu kepada AFP.
JFTC juga percaya Google menawarkan insentif kewangan untuk menekan pembuat telefon pintar berkenaan supaya mengecualikan aplikasi carian saingan, kata sumber itu, yang enggan dikenali kerana maklumat itu belum diketahui umum.
Tingkah laku sedemikian membentuk ‘amalan perdagangan tidak adil’ yang diharamkan oleh undang-undang antipersaingan, kata sumber itu, sambil menambah surat pemberhentian akan dihantar kepada Google sementara menunggu perbicaraan.
Tindakan pentadbiran sedemikian merupakan langkah ‘agak kukuh’ yang diambil oleh JFTC, kata sumber itu, dan yang pertama terhadap GAFAM – singkatan untuk firma gergasi teknologi AS Google, Amazon, Facebook, Apple dan Microsoft.
Google Jepun tidak dapat dihubungi untuk mengulas apabila dihubungi oleh AFP.
Tindakan itu mencerminkan tindakan keras yang serupa terhadap Google di AS dan Eropah. – AFP