BERLIN, 12 NOV – Google hari ini mengumumkan pelaburan terbesar syarikat itu di Jerman setakat ini, dengan komitmen sebanyak 5.5 bilion euro (AS$6.4 bilion) bagi membina pusat data baharu dan melaksanakan beberapa projek lain, ketika Eropah berusaha mengejar kemajuan dalam perlumbaan kecerdasan buatan (AI).
Pengumuman itu dibuat seminggu selepas gergasi cip AI, Nvidia dan Deutsche Telekom mendedahkan rancangan untuk menubuhkan hab teknologi tinggi di Jerman bagi membantu industri mempercepatkan penggunaan AI.
Suntikan dana tersebut memberi rangsangan kepada ekonomi Jerman yang kini bergelut serta menyokong usaha Eropah untuk menyaingi pemimpin global dalam bidang AI, iaitu Amerika Syarikat dan China.
“Kami sedang memacu pertumbuhan di Jerman,” kata Canselor Friedrich Merz semasa mengumumkan pelaburan Google yang dijangka dilaksanakan menjelang 2029.
“Negara kita adalah, dan akan kekal, sebagai salah satu destinasi pelaburan paling menarik di dunia,” tambahnya.

Pelan Google merangkumi pembinaan pusat data baharu serta pengembangan pusat sedia ada di negeri Hesse, barat Jerman, bagi menyediakan kuasa pengkomputeran untuk kecerdasan buatan.
Syarikat itu juga merancang memperluas pejabatnya di Berlin, Frankfurt dan Munich, serta melancarkan beberapa projek bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, termasuk pembelian tenaga boleh diperbaharui daripada sumber angin dan solar, serta projek ‘pemulihan haba’ yang membolehkan haba lebihan daripada pusat data digunakan semula oleh penduduk tempatan.
Menurut Google, pelan tersebut akan menyokong kira-kira 9,000 peluang pekerjaan setiap tahun di Jerman.
“Google kini memantapkan kehadirannya di Jerman, memperluas pelaburan kami di negara ini dan membuka laluan baharu untuk transformasi berasaskan AI,” kata Pengurus Negara Google Jerman, Philipp Justus.
Kerajaan pimpinan Merz, yang mula memerintah tahun ini, berusaha menarik lebih banyak pelaburan asing untuk memperkasa sektor digital, ketika prospek bagi gergasi industri tradisional Jerman semakin suram.
Jerman kini giat memperluas kapasiti pusat datanya dan menjelang 2030, kuasa pengkomputeran pusat data negara itu dijangka meningkat sebanyak 70 peratus, menurut Persatuan Perniagaan Digital Bitkom. – AFP

