Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Google lancar Pixel 10 dengan ciri AI lebih canggih

    NEW YORK, 21 OGOS – Google kelmarin melancarkan telefon pintar baharu Pixel 10 yang menjanjikan lebih banyak keupayaan kecerdasan buatan (AI), dalam usaha menyaingi pesaing lain di pasaran pembantu maya berasaskan AI yang berkembang pesat.

    Pelancaran di Brooklyn dikendalikan oleh pelawak terkenal, Jimmy Fallon, dan disertai dengan persembahan artis popular seperti kumpulan The Jonas Brothers serta bintang bola keranjang Golden State Warriors, Stephen Curry.

    Barisan produk baharu yang diperkenalkan termasuk telefon boleh lipat, jam pintar Pixel yang dipertingkatkan serta fon telinga baharu kesemuanya diselaraskan untuk berfungsi dengan AI.

    “Pixel kekal sebagai cara terbaik bagi pengguna mencuba teknologi AI terkini daripada Google,” kata pengurus produk Tyler Kugler semasa taklimat bersama wartawan.

    Walaupun telefon Pixel hanya menguasai sebahagian kecil pasaran telefon pintar mewah yang didominasi Apple, Samsung dan Xiaomi, perkakasan khusus Google memberi peluang kepada gergasi internet itu untuk menyerlahkan keupayaan sistem operasi mudah alih Android dan pembantu maya Gemini AI.

    Telefon pintar baharu Pixel 10 keluaran Google LLC, yang dijadualkan dilancarkan pada 28 Ogos. – AFP

    AI yang dibina dalam Pixel 10 membolehkan pembantu Gemini menggunakan kamera untuk ‘melihat’ apa yang dilihat pengguna, menjawab soalan atau memberi cadangan mengenai lokasi, objek atau situasi, menurut Kugler.

    Google bukan satu-satunya firma yang membawa AI ke telefon pintar. Samsung turut menjadikan AI sebagai ciri utama produk Galaxy dan baru-baru ini melancarkan Galaxy Z Fold7.

    Pasukan produk Google turut memperkenalkan Pixel Watch 4 dengan reka bentuk baharu, digambarkan sebagai kemas kini terbesar untuk siri jam pintar itu.

    Antara cirinya termasuk penjejakan kecergasan lebih tepat yang mampu membezakan aktiviti seperti berjalan, berbasikal atau bermain tenis. Pixel Watch juga membolehkan pengguna mengawal pembantu Gemini terus dari pergelangan tangan.

    Gemini pula mampu mengesan nada emosi individu yang bercakap dengannya dan menyesuaikan respons, malah boleh ‘melihat’ melalui kamera telefon untuk memberi cadangan foto, menurut Google. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda