Google merayu bantah denda AS$590 juta

PARIS, 1 SEPT – Google berkata hari ini ia akan merayu satu keputusan oleh badan pemerhati persaingan Perancis untuk mendendanya 500 juta euro (AS$590 juta) dalam perbalahan dengan saluran media berhubung penggunaan isi kandungan mereka di bawah peraturan hak cipta Kesatuan Eropah (EU).

“Kami tidak bersetuju dengan beberapa elemen perundangan, dan menganggap jumlah denda sebagai tidak wajar berbanding dengan usaha yang telah kami lakukan untuk mencapai satu perjanjian serta menghormati undang-undang baharu,” kata Sebastien Missoffe, ketua Google Perancis, dalam satu kenyataan.

Denda itu, dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Persaingan Perancis pada Julai, adalah yang terbesar dalam sejarah agensi atas kegagalan mematuhi salah satu peraturannya.

Badan pengawal selia berkata Google gagal berunding ‘secara jujur’ dengan syarikat media dalam perbalahan berhubung penggunaan artikel, gambar dan video oleh syarikat gergasi internet dalam hasil pencariannya.

Perbalahan itu telah menumpu pada dakwaan mengatakan Google telah menggunakan isi kandungan ini dalam hasil pencarian tanpa bayaran pampasan mencukupi, meskipun peralihan pendapatan periklanan global terhadap syarikat bar gelintar sejak dua dekad lalu.

Pada April tahun lalu, pihak berkuasa persaingan Perancis mengarahkan Google supaya berunding ‘secara jujur’ dengan kumpulan media selepas ia enggan mematuhi undang-undang Kesatuan Eropah 2019 yang mengawal hak cipta digital.

‘Hak’ tersebut bertujuan memastikan penerbit berita diberi pampasan apabila kerja mereka disiarkan di laman web, bar gelintar dan platform media sosial.

September lalu, penerbit berita Perancis termasuk Agence France-Presse (AP) memfail satu aduan dengan badan pengawal selia, berkata Google enggan membayar untuk memaparkan isi kandungan dalam pencarian laman sesawang.

Sementara Google menegaskan ia telah melaku perubahan, badan pengawal Perancis berkata tingkah laku syarikat ‘menandakan perbuatan sengaja dan tidak menghormati’ arahannya untuk berunding secara jujur. – AFP

Seorang lelaki mengambil gambar logo syarikat teknologi AS Google dengan telefon bimbitnya ketika dia melawat pameran firma inovasi Vivatech di Paris. Google merayu membantah denda 500 juta euro yang dikenakan di Perancis kelmarin. – AFP