LONDON, 25 JUN – Google berkata ia akan mula membayar beberapa penerbit bagi kandungan berita mereka, dalam satu langkah yang boleh membuka jalan untuk mengurangkan ketegangan antara syarikat gergasi internet dan industri berita.
Syarikat itu berkata hari ini ia merancang untuk melancarkan program pelesenan tahun ini untuk membayar penerbit bagi ‘kandungan berkualiti tinggi’.
Program itu akan dimulakan dengan penyiaran tempatan dan nasional di Jerman, Australia dan Brazil, “dengan lebih banyak lagi kemudian,” kata Brad Bender, naib presiden pengurusan produk dalam catatan blognya.
“Program ini akan membantu penerbit mengewangkan kandungan mereka menerusi pengalaman bercerita,” kata Bender, menyifatkannya sebagai ‘langkah penting ke hadapan’ bagaimana syarikat itu akan menyokong jurnalisme berkualiti tinggi.
Artikel program itu akan boleh diperolehi dalam perkhidmatan Google News dan Discover. Google juga akan membayar pengguna untuk membaca artikel-artikel langganan.
Syarikat gergasi teknologi itu juga bergelut dengan permintaan industri berita bagi pampasan selama bertahun-tahun, dalam pertikaian yang telah membawa kepada hal lebih serius ketika pandemik koronavirus mengakibatkan hasil pendapatan pengiklanan dalam penerbitan merosot.
Syarikat berita pertama yang menandatangani perjanjian bersama Google termasuk Der Spiegel, Jerman; Allgemeine Zeitung, Die Zeit, Tagesspiegel dan Rheinische Post dari Frankfurter; Schwartz Media, The Conversation, Private Media dan Solstice Media dari Australia; serta Diarios Associados dan A Gazeta dari Brazil. – AP