SAN FRANCISCO, 26 Okt – Syarikat gergasi Internet Amerika Syarikat (AS) Google, menyatakan bahawa dalam tempoh dua tahun lalu, seramai 48 pekerja termasuk 13 pegawai kanan dipecat atas kesalahan melakukan gangguan seksual.
Dalam memo dalaman kepada pekerja syarikat, Ketua Pegawai Eksekutif Google, Sundar Pichai berkata pekerja yang diberhentikan itu tidak menerima sebarang pampasan.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pihak syarikat telah membuat beberapa perubahan, termasuk memperkenalkan garis panduan lebih ketat terutama kepada pegawai atasan,” lapor Xinhua.
Pendedahan mengejutkan itu dibuat selepas Pichai menghantar memo kepada kakitangan Google, ketika laporan terperinci di New York Times mengenai peletakan jawatan pegawai yang bertanggungjawab menyelia jabatan perisian Android, Andy Rubin pada 2014, menerima bayaran AS$90 juta selepas dituduh melakukan gangguan seksual. – Bernama
