Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Google perkenal ciri AI baharu dalam G Cloud

    SAN FRANCISCO, 30 OGOS – Google mengumumkan kelmarin bahawa ia sedang menyelaraskan kecerdasan buatan (AI) lebih mendalam ke dalam tawaran Google Cloud (G Cloud) kerana ia bersaing untuk perniagaan firma yang berminat untuk memanfaatkan teknologi itu.

    Gergasi internet itu melancarkan ciri dikuasakan AI baharu untuk carian data, kerjasama dalam talian, terjemahan bahasa, imej dan banyak lagi pada persidangan Cloud Next tahunan pertamanya yang diadakan secara bersemuka sejak 2019.

    Perhimpunan itu bermula sehari selepas OpenAI melancarkan versi perniagaan ChatGPT ketika syarikat teknologi itu berusaha untuk bersaing dengan Microsoft, yang telah mendahului dalam memperkasakan produknya dengan AI.

    “Saya amat teruja untuk membawa ramai pelanggan dan rakan kongsi kami bersama-sama untuk mempamerkan inovasi menakjubkan yang telah kami usahakan,” kata ketua eksekutif Google Cloud, Thomas Kurian dalam catatan blog.

    Kebanyakan syarikat yang ingin menggunakan AI mesti beralih kepada gergasi awan, termasuk Microsoft, AWS dan Google, untuk keperluan pengkomputeran tugas berat.

    Syarikat-syarikat tersebut seterusnya bekerjasama dengan pembangun AI, sama seperti halnya hubungan besar antara Microsoft dan pencipta ChatGPT OpenAI, atau telah membangunkan model mereka sendiri, seperti yang dilakukan oleh Google.

    Google juga membuka platform awannya kepada kecerdasan buatan daripada syarikat lain termasuk Meta dan Anthropic, dengan harapan untuk menempatkannya sebagai destinasi utama bagi AI.

    Lebih daripada 70 peratus pemula AI generatif yang dianggap ‘unicorn’ kerana penilaian lebih daripada satu bilion dolar adalah pelanggan Google Cloud, kata naib presiden perniagaan AI global, Philip Moyer semasa taklimat.

    Senarai unicorn AI yang menggunakan Google Cloud termasuk Anthropic, Jasper dan Runway. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda