PARIS, 2 OKT – Google kelmarin mengumumkan pihaknya akan menambah pembantu generatif AI terbaharu, Gemini, ke dalam rangkaian peranti rumah pintarnya, membolehkan pengguna mengawalnya dengan arahan bahasa semula jadi.
Ciri baharu dikenali sebagai ‘Gemini for Home’ itu menggantikan sistem terdahulu, Google Assistant, yang sebelum ini digunakan untuk menguruskan gajet domestik syarikat teknologi gergasi Amerika tersebut, menurut catatan blog rasmi Google.
Langkah itu akan memberi kesan kepada paparan, pembesar suara, kamera dan loceng pintu keluaran Google yang dibeli sejak 10 tahun lalu.
Google menjelaskan kebolehan mengawal peranti dengan lebih mudah melalui bahasa semula jadi berbanding frasa khusus dijangka meningkatkan kekerapan penggunaan oleh orang ramai.
Syarikat itu turut menyiarkan video demonstrasi seorang pengguna meminta resipi masakan daripada pembesar suara pintar berdasarkan bahan yang ada, sebelum mengarahkan pembantu AI tersebut mengubahsuai menu secara langsung. – AFP


