NEW YORK, 28 OKT – Google dedahkan rancangan untuk memulakan kembali kemudahan nuklear di Iowa bagi menjana infrastruktur kecerdasan buatan (AI) syarikat itu dalam kerjasama terbaru antara syarikat gergasi teknologi dan industri elektrik.
Di bawah pengumuman dengan syarikat kuasa elektrik NextEra Energy, Pusat Tenaga Duane Arnold, yang ditutup pada tahun 2020, akan kembali beroperasi pada tahun 2029, “untuk membantu menjana infrastruktur awan dan AI Google yang semakin berkembang di Iowa,” kata syarikat-syarikat itu dalam siaran akhbar bersama.
Google menandatangani perjanjian 25 tahun untuk membeli kuasa daripada kemudahan itu sebaik sahaja ia dimulakan semula.
“Ketika Amerika Syarikat (AS) memasuki era inovasi dan peluang baharu yang didorong oleh AI, kerjasama strategik ini bertujuan untuk membolehkan Google mengembangkan keperluan perniagaannya secara bertanggungjawab,” kata siaran akhbar itu, yang memuji tenaga nuklear sebagai sumber kuasa bebas karbon.
Kini, AI telah muncul sebagai satu sumber yang amat memerlukan tenaga.
April lalu, Agensi Tenaga Antarabangsa mengunjurkan bahawa penggunaan elektrik oleh pusat data akan meningkat lebih daripada dua kali ganda menjelang 2030.
Google telah mengumumkan inisiatif lain untuk mendapatkan kapasiti kuasa tambahan, termasuk usaha sama dengan Elementl Power untuk membangunkan tiga loji kuasa nuklear canggih di AS.
Sementara itu, syarikat kuasa Constellation sedang dalam proses memulakan semula loji yang telah ditutup pada 2019, Three Mile Island di Pennsylvania susulan perjanjian pembelian kuasa selama 20 tahun dengan Microsoft. – AFP


