SAN FRANCISCO, 15 JUN – Google mula membenarkan pengguna menukar carian dalam talian menjadi bentuk perbualan, dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif memberikan ringkasan bersuara terhadap hasil carian.
Dengan ciri baharu dikenali sebagai Audio Overviews, model AI Gemini milik Google dapat merumuskan hasil carian dengan pantas dalam gaya perbualan, menurut syarikat itu.
“Gambaran keseluruhan audio boleh membantu awda memahami sesuatu topik, menawarkan cara yang mudah dan bebas untuk menyerap maklumat sama ada ketika awda melakukan pelbagai tugas serentak atau lebih gemar pengalaman berasaskan audio,” kata Google dalam satu catatan blog.
“Kami turut memaparkan laman web yang berguna dalam pemain audio di halaman hasil carian supaya awda boleh meneroka dan memahami maklumat secara lebih mendalam.”
Google sedang mempertingkatkan enjin carian dalam taliannya dengan AI generatif, walaupun berdepan kebimbangan terhadap potensi gangguan kepada model perniagaan berasaskan iklan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sundar Pichai, baru-baru ini memperkenalkan mod AI baharu dalam enjin carian Google.
Mod AI terbaharu itu melangkaui AI Overviews, yang setakat ini hanya memaparkan jawapan hasil daripada kuasa AI generatif Google di atas pautan laman web dan iklan tradisional berwarna biru. – AFP
