GENEVA, 10 APRIL – Menurut seorang pegawai zoo di bandar Switzerland kelmarin, seekor gorila kesayangan Zoo Zurich berusia lebih 40 tahun itu telah ‘ditidurkan’ selepas bergelut lama dengan masalah kesihatan yang semakin merosot.
N’Gola sudah berusia 47 tahun dan merupakan antara gorila jantan tertua di zoo-zoo Eropah, menurut Pengarah Zoo Zurich, Severin Dressen.
Gorila jantan itu merupakan spesies gorila dataran rendah Barat, subspesies kera besar yang berasal dari Afrika dan diklasifikasikan sebagai binatang yang amat terancam.
Disebabkan usianya yang lanjut, haiwan itu dikenali sebagai ‘silverback’ merujuk kepada jalur uban di bahagian belakang badannya.
N’Gola mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk artritis, masalah jantung dan jangkitan cacing pita. Gorila tersebut telah diberi ubat penahan sakit selama beberapa tahun, namun selera makannya semakin berkurang serta mengalami kehilangan berat badan dan jisim otot.

Menurut Pengarah Zoo Zurich, Severin Dressen. “Keputusan untuk menamatkan riwayat seekor silverback bukanlah sesuatu yang mudah,”
Tambahnya lagi, “Kita telah menyaksikan kemerosotan sebanyak 80 peratus populasi gorila dalam tiga generasi,” tambahnya tentang penurunan bilangan gorila liar. Zoo boleh memainkan peranan dalam penyelidikan dan pendidikan awam mengenai perlindungan spesies.
N’Gola dilahirkan dalam kurungan dan telah menjadi bapa kepada 34 anak. Ia dikenali dengan sifatnya yang sensitif, menjaga “haremnya iaitu kumpulan betinanya,” kata Dressen.
Menurut akhbar Swiss Neue Zürcher Zeitung, pada tahun 2012, seekor gorila betina bernama Nache dalam haremnya mengalami radang apendiks yang pecah semasa kehamilan lanjut dan kedua-dua Nache serta anak gorila dalam kandungan telah meninggal dunia.
Menurut laporan tersebut juga, N’Gola dikatakan merintih dan mencari Nache selama berminggu-minggu di sekitar kandangnya,
Dressen turut mengimbas kembali detik menyentuh hati apabila N’Gola menjaga seekor anak gorila dalam kumpulannya.
“Ibunya tiada ketika itu dan N’Gola memikul tanggungjawab menjaga anak tersebut, satu tindakan yang jarang dilakukan oleh seekor silverback.” Bagi manusia pula, N’Gola kebanyakannya mengabaikan “spesies berkaki dua di seberang kaca kandangnya,” kata Dressen. – AP