Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gorila positif COVID-19

    LOS ANGELES, 12 JAN – Beberapa gorila di Taman Safari Zoo San Diego di California, Amerika Syarikat (AS), positif COVID-19, mungkin kejadian pertama membabitkan penularan terhadap spesies beruk besar, lapor agensi berita Xinhua menurut pegawai zoo semalam.

    Pegawai pengendali Zoo dan Taman Safari Zoo San Diego, dalam satu kenyataan berkata mereka menguji sampel najis gorila melalui Sistem Makmal Kesihatan Haiwan dan Keselamatan Makanan California selepas dua ekor gorila mengalami batuk pada 6 Januari.

    Makmal Perkhidmatan Veterinar Nasional Jabatan Pertanian AS pada Isnin mengesahkan keputusan positif. Hasil ujian mendapati kewujudan SARS-CoV-2, virus penyebab COVID-19, pada beberapa gorila dan tidak menolak kemungkinan kehadiran virus pada gorila lain dalam kumpulan haiwan itu, menurut kenyataan itu.

    “Selain mengalami selesema dan batuk, gorila tersebut dalam keadaan baik,” kata Pengarah Eksekutif Taman Safari Zoo San Diego Lisa Peterson, sambil menambah gorila tersebut tetap dikuarantin bersama.

    Menurut beliau, haiwan itu disyaki dijangkiti daripada petugas yang tidak mempunyai gejala, sungguhpun semua langkah berjaga-jaga dengan mematuhi protokol keselamatan COVID-19 kesihatan awam telah diambil.

    “Kajian penyelidikan mengesahkan beberapa primat bukan manusia terdedah kepada jangkitan SARS-CoV-2, tetapi ini adalah contoh pertama penularan semula jadi terhadap beruk besar dan tidak diketahui sama ada ia akan mengalami tindak balas serius,” kata pegawai.

    Taman Safari Zoo San Diego, tarikan utama pelancong di daerah ini, ditutup kepada orang awam sejak 6 Disember 2020. – Bernama

    Gorila di Taman Safari Zoo San Diego dilihat di habitatnya di Escondido, California pada 10 Januari 2021. Beberapa gorila di zoo telah diuji positif dijangkiti COVID-19 dalam kes pertama di kalangan haiwan tersebut di AS dan dunia. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda