Oppo bakal umum telefon boleh lipat?
OPPO dilaporkan sedang menghasilkan telefon pintar lipatnya sendiri dan bersedia untuk mengumumkannya pada acara Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2019, Februari tahun depan.
Sebelum ini, syarikat China berkenaan telah menunjukkan minat dalam membangunkan peranti boleh lipat, tetapi tiada garis masa dilaporkan sehinggalah kini.
Oppo juga dikatakan sedang menghasilkan telefon pintar berkeupayaan 5G bagi pasaran Eropah dalam separuh pertama tahun depan dan telefon pintar dengan lubang untuk menempatkan kamera selfie, sekitar tahun 2020.
Satu laporan oleh blog Belanda, Tweakers.net mendakwa bahawa pengurus produk Oppo, Chuck Wang menyatakan di ibu pejabat syarikat berkenaan di Shenzhen, China, syarikat itu merancang satu telefon pintar boleh lipat tidak lama lagi.
Sementara laporan itu menyatakan bahawa Oppo mungkin mengumumkannya sekitar MWC 2019, butiran mengenai tarikh pelancarannya, spesifikasi atau barisan telefon pintar itu belum didedahkan.
Tweakers mendakwa bahawa Chuck Wang juga mengumumkan pelancaran telefon pintar Oppo berkeupayaan 5G seawal separuh pertama 2019. Ia mungkin sebahagian daripada siri premium Find syarikat tersebut.
Di samping itu, Wang juga dilaporkan berkata bahawa peranti Oppo dengan rekaan semua skrin dan satu lubang untuk menempatkan kamera selfie dirancang bagi 2020.
Galaxy S10: RAM 12GB, storan 1TB?
SAMSUNG Galaxy S10 kini dikatakan akan diperkenalkan dengan RAM 12GB dan storan dalaman 1TB. Ini mungkin varian 5G bagi Galaxy S10 yang baru-baru ini, dilaporkan sebagai model ulang tahun ke-10 oleh syarikat Korea Utama berkenaan.
Di syarikat tersebut, varian 5G berkenaan dikatakan digelar ‘Beyond X’ dan dirancang diperkenalkan dengan paparan 6.7 inci.
Ia juga dikatakan akan didatangkan dengan enam kamera kesemuanya. Samsung mungkin melancarkan model mewah Galaxy S10 itu di samping tiga model lain dalam satu acara pada Februari tahun depan.
Bagaimanapun, varian 5G berkemungkinan diperkenalkan selepas pelancaran rangkaian 5G. Sebelum ini, Samsung telah dikatakan akan melancarkan beberapa varian Galaxy S10 tahun depan, daripada pilihan mampu milik hingga varian mewah 5G.
Setiap varian dikatakan bakal mengetengahkan jumlah kamera yang berbeza.
Pekerja di ITHome mendakwa, memetik laporan daripada GF Securities yang berpangkalan di Hong Kong, Samsung telah merancang untuk melancarkan Galaxy S10 dengan RAM 12GB. Ia juga dikatakan akan mempunyai storan dalaman 1TB, bagaimanapun, tidak jelas sama ada ia boleh ditambah menerusi kad mikroSD.