Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Sebagai salah satu aktiviti amal sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) kali ke-59, JBP Cawangan Operasi ‘E’ Daerah Tutong, baru-baru ini, telah mengadakan projek gotong-royong membersihkan persekitaran Pusat Bahagia, Jalan Sungai Basong Daerah Tutong.
Projek yang disertai seramai 60 pegawai dan anggota JBP itu telah diketuai oleh Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘E’, Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat, Awang Mohd Yudieswandy bin Awang Bakar.
Kerja gotong-royong yang dilakukan semasa kempen tersebut termasuk memotong rumput, membersihkan kawasan persekitaran dan sebagainya dengan harapan jabatan tersebut dapat mengurangkan beban serta membantu golongan yang memerlukan dan mengeratkan hubungan kerjasama antara JBP dengan agensi kerajaan dan sektor swasta.
Antara tujuan aktiviti seumpamanya adalah untuk mengeratkan silaturahim antara warga jabatan dan warga pusat, di samping, memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai golongan yang memerlukan perhatian terutama yang kurang upaya seterusnya memupuk sikap bekerjasama dalam menjaga alam sekitar dan mencantikkan kawasan tersebut.
JBP dalam pada itu juga, meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang insiden kecemasan melalui talian kecemasan 995, talian 993 apabila melihat perbuatan yang mencurigakan, mengambil atau merosakkan pili bomba dan talian Darussalam 123 bagi aduan pembakaran terbuka.
