Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 6 Nov – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Birau, melalui Kumpulan Libasan Amal sekali lagi melaksanakan kerja amal bergotong-royong dengan mengadakan kempen kebersihan di Sekolah Rendah Batang Mitus, kelmarin.
Turut hadir mengetuai kempen tersebut ialah Ketua Kampung Birau, Haji Burhanuddin bin Haji Hashim selaku Ketua Kumpulan Libasan Amal dan Guru Besar Sekolah Rendah Batang Mitus, Dayang Rosmawati binti Haji Mohd Yassin.
Kempen kebersihan kali ke-11 ini melibatkan beberapa ahli Kumpulan Libasan Amal bersama warga sekolah berkenaan melakukan kerja-kerja membersih kawasan persekitaran sekolah dengan memotong rumput.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P10-B-1-2_071117.jpg)
Dayang Rosmawati semasa ditemui berkata, beliau selaku warga sekolah turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada ahli Kumpulan Libasan Amal dan mendoakan amalan mereka akan diredai dan diberkati di samping mendoakan agar dikurniakan kesihatan yang baik supaya ahli-ahlinya akan dapat meneruskan kerja-kerja amal yang akan datang.
Dengan adanya kerja gotong-royong ini, ia diharap akan dapat mengeratkan kerjasama antara warga sekolah dan penduduk-penduduk kampung sekitarnya termasuklah ahli Kumpulan Libasan Amal dalam mengadakan kempen gotong-royong yang akan dijalankan nanti.