Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Gotong-royong bersihkan Kg Menunggol

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Sebagai sebahagian daripada Projek Jangkauan Masyarakat di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-30, Kumpulan Infaq Ikhlas telah menganjurkan kempen gotong-royong di Kampung Menunggol, Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.

    Kempen yang dijalankan di kawasan jeti Kampung Menunggol dan Bukit Batu Bujang Pahang itu disertai oleh lebih 100 orang termasuk penduduk Kampung Menunggol melalui Majlis Perundingan Kampung (MPK) Menunggol dan Persatuan Alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dengan bantuan pihak Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kementerian Pendidikan dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

    Turut sama menjayakan kempen ialah persatuan-persatuan belia yang terdiri daripada Sukarelawan Belia, Green Brunei, WeCare, VFAST Brunei, dan Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), serta dengan sumbangan Citra Dewi Restaurant and Catering Services, Sifana Sdn Bhd dan BMAS-Jaya.

    Menurut kenyataan yang diberikan, kempen tersebut merupakan antara siri aktiviti anjuran Kumpulan Infaq Ikhlas yang bertujuan untuk mempromosikan Kampung Menunggol kepada orang ramai.

    Projek bertajuk ‘Peningkatan Aktiviti Berkaitan Ekonomi dan Pelancongan di Kampung Menunggol’ yang dilaksanakan oleh kumpulan tersebut diungkayahkan dengan kerjasama beberapa pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta, persatuan belia dan MPK Menunggol.

    Kampung Menunggol mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai salah satu destinasi ekopelancongan dan tempat unik untuk aktiviti riadah kerana terdapat beberapa tempat menarik untuk dilawati dan diterokai terutamanya Bukit Batu Bujang Pahang yang menempatkan lombong batu arang, gua kelawar, batu bertingkat, Telaga Puteri dan Wasai Mailu.

    Antara yang terlibat dalam kempen di Kampung Menunggol tersebut. – Gambar serahan Infaq Ikhlas
    Para peserta membawa beg plastik semasa kempen berkenaan. – Gambar serahan Infaq Ikhlas
    Gambar serahan Infaq Ikhlas

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda