Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Buat julung-julung kalinya, Persatuan Alumni Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan ke-7 (PKBN-7) bersama Kesatuan Ibu Bapa PKBN-7 telah mengadakan program kebajikan Jambatan Kasih sempena bulan Syaaban dan menjelangnya Ramadan.
Program berkenaan merupakan acara gotong-royong membersihkan dan bertahlil serta Doa Arwah di Tanah Perkuburan Bukit Menumpang Kampung Tamoi.
Acara yang dikepalai oleh Pengiran Hazlyn bin Pengiran Hashim itu diadakan khusus buat Pengiran Haji Mohd Sapiudin bin Pengiran Haji Zainal, bapa kepada salah seorang Alumni PKBN-7 Platun 1 iaitu Awangku Mohd Ikhwan Syazwan Al-Amin bin Pengiran Haji Mohd Sapiudin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Negara, Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli bin Pengiran Haji Ismail.

Semasa ditemu bual, Kolonel (B) Pengiran Haji Zulkifli mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur dalam sama-sama menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar setiap rakyat dan penduduk negara ini khususnya Persatuan Alumni PKBN mengambil inisiatif dalam perkara-perkara berkebajikan dan sama-sama menjadikan institusi kekeluargaan sebagai landasan untuk mendisiplinkan dan menanamkan sifat jati diri terhadap lepasan PKBN.
Haji Sohaili bin Haji Mohidi selaku wakil Jawatankuasa Kesatuan Ibu Bapa PKBN-7 turut menyeru semua lepasan PKBN (alumni) agar sama-sama komited dalam menjadikan negara ini sebagai sebuah negara ‘Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafuur’ sesuai dengan moto PKBN iaitu ‘Bersedia, Berkhidmat, Berbakti sebagai Belia Berwawasan’.