Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Dalam usaha menjaga kebersihan dan kecantikan kawasan perumahan, Majlis Perundingan Kampung Berserumpun Kawasan 4, Rancangan Perumahan Negara Panchor telah mengadakan aktiviti gotong royong memotong rumput baru-baru ini.
Kempen gotong royong tersebut tertumpu di kawasan di tepi longkang Besar di Simpang 60-66 Jalan Bukit Sinadur dan akan disambung berikutnya ke simpang-simpang yang lain di bawah tadahan Kawasan 4 kampung berkenaan.
Dengan adanya aktiviti gotong royong tersebut adalah bagi memudahkan orang ramai terutama pejalan kaki menuju ke Masjid Baharu RPN Kampong Panchor, Mukim Mentiri, lebih-lebih lagi kedatangan bulan Ramadan yang hampir tiba.
Turut menyertai dalam kempen tersebut adalah Ketua Kampung, Faidil Rosemady bin Mohamad bersama warga penduduk kampung berkenaan.
Antara warga penduduk kampung yang menyertai gotong-royong berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MPK BERSERUMPUN KAWASAN 4